Sunday, May 28, 2023

(2) SURAH AL-BAQARAH 11

  

SURAH AL-BAQARAH 2:11

 

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ (11)

Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: "Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 10

AYAT 11

 

Orang munafiq ini mempunyai masalah hati. Hati mereka berpenyakit yang ditambah lagi penyakit tersebut

 

 

Dijelaskan implikasi dari hati yang berpenyakit, iaitu tidak dapat menerima teguran. Bukti hati mereka semakin berpenyakit, apabila mereka anggap kebatilan itu adalah kebenaran; kejahatan itu adalah kebaikan.

 

 

[1] Orang munafiq melakukan tipu daya (ayat 9) berpunca dari hati mereka yang sakit. Perangai sebegini, perlu diberi teguran dan nasihat.

 

Namun, dengan hati yang sakit itu, akal mereka pula ligat untuk melakukan tipu daya, makanya ayat ke-11 ini, dijelaskan bentuk tipu daya mereka adalah mereka mendakwa bahawa mereka yang melakukan kebaikan.

 

[2] Dalam ayat ke-14 nanti, akan disebut bahawa mereka melakukan استهزاء kepada orang beriman. Justeru, ayat ini menjelaskan permulaan استهزاء tersebut[1].

 

[3] Dalam ayat ke-10, disebutkan bahawa hati orang munafiq itu ada penyakit lalu bertambah lagi penyakit, maka dalam ayat ini (ayat 11) dijelaskan bentuk sakit itu, iaitu mereka tidak rasa sedikit rasa bersalah pun semasa mereka menggambarkan kejahatan itu sebagai kebaikan.

 

[4] RASHID REHDA menyatakan, dari sudut konteks ayat; ia diturunkan berkaitan dengan MUNAFIQ YAHUDI, terutama dari kalangan ORANG-ORANG ALIM[2] mereka.

a.                  Melihat dari sudut asal turun dari ayat pertama surah al-Baqarah.

b.                  Melihat cara mereka menjawab “kami adalah orang yang melakukan Islah” yang merujuk kepada tindakan jahat mereka yang cuba menutup kebenaran Nabi Muhammad saw.

 

[5] Dalam ayat 7, dijelaskan masalah besar pada orang kafir adalah “telah terkunci hati mereka” yang memberi maksud, segala perkara itu bermula dari hati. Ekoran itu, apabila dilihat pada ayat ke-10 yang menyebut masalah bagi orang munafiq juga adalah hati.

 

Apabila hati manusia sudah ditetapkan A, maka keputusan tindakannya adalah A, walaupun kebenaran itu pada perkara B.

 

Memandangkan orang munafiq itu, hatinya sudah berpenyakit, iaitu settingnya adalah BENCI dan PREJUDIS, maka cara mereka menilai bukan dengan rasional, tetapi dengan sentimen. Justeru, kekuatan hujah dari pihak islam macam mana pun, tetap akan dianggap sebagai tidak benar; lemah hujah atau tidak ada hujah pun, asalkan datang dari pihak mereka, maka itu pasti akan dianggap sebagai benar.

 

[6] Apabila begitu hati mereka, makanya mereka tidak boleh terima nasihat. Ekoran itu, apabila suruh mereka berhenti lakukan kerosakan, mereka tetap bertahan dengan anggap kerosakan yang mereka buat itu adalah kebenaran.

 

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ

 

Apabila diberitahu kepada mereka: jangan kamu lakukan kerosakan di bumi

 

[7] Ayat ini menjadi dalil bahawa menegur orang yang melakukan kerosakan adalah dituntut.

 

[8] Dalam ayat digunakan perkataan قيل (diberitahu – Bina Majhul).

a.                  Menurut USAIMIN, ia mengandungi makna umum; iaitu, sesiapa sahaja perlu memberitahu kepada orang-orang munafiq tersebut[3].

b.                  ABU ZAHRAH kata, ia menunjukkan bahawa orang yang ingkari keburukan mereka amat meluas sehingga orang yang lihat, dengar dan berinteraksi dengan mereka pasti akan menegur agar mereka tidak melakukan kerosakan[4].

 

[9] Pada perkataan لَا تُفْسِدُوا (jangan lakukan kerosakan. Menurut ZAMAKHSYARI, lawan bagi kata FASAD adalah MASLAHAH. Ia adalah keluar sesuatu dari keadaan yang bermanfaat. Setiap perbuatan yang ternafi dari manfaat, maka itu adalah FASAD[5]. Justeru, sebarang tindakan yang menafikan manfaat, apatah lagi berlaku kehancuran seperti perang dan fitnah[6]. Pentafsiran ini dipilih kerana perkataan FASAD digunakan di beberapa ayat al-Quran berikut;

 

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ (30) – البقرة

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya

وَإِذَا تَوَلَّى سَعَى فِي الْأَرْضِ لِيُفْسِدَ فِيهَا وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ وَالنَّسْلَ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْفَسَادَ (205) – البقرة

Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.

 

[10] Melakukan افساد ini dilihat dalam beberapa bentuk berikut;

(A)               Dari sudut hati, iaitu orang munafiq menimbulkan keraguan manusia terhadap islam.

(B)               Dari sudut perbuatan, iaitu orang munafiq mewujudkan suasana tidak aman dalam kalangan orang islam seperti mereka menjadi batu api, wujudkan prejudis, permusuhan dan sebagainya.

(C)               Dari sudut perkataan, iaitu menyeru manusia agar menjadi kelompok mereka dan mengikut kehendak pasukan mereka[7].

 

[11] Perkataan الأرض dalam ayat ini;

a.             ZAHRAH menyatakan, apabila disebut في الأرض menunjukkan KEUMUMAN FASAD yang mereka lakukan itu. Dalam konteks ayat, di Madinah dan kelilingnya, mereka Cuma mencetuskan perang dan kekacauan dalam kota Madinah[8].

b.            USAIMIN kata, maksudnya adalah bumi atau penduduk bumi. iaitu, jangan lakukan kerosakan, sama ada kepada bumi, atau kepada penduduk bumi[9].

 

[12] maksud dengan KEROSAKAN ATAS MUKA BUMI adalah;

A.                 Teguran agar mereka tidak kufur. Ini tafsiran IBN ABBAS[10].

B.                 Teguran agar mereka tidak kufur dan tidak lakukan maksiat. Ini tafsiran AL-SUDDIY[11].

C.                Tegur agar tidak meninggalkan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Ini tafsiran MUJAHID[12].

D.                Menurut USAIMIN, tafsiran SALAF, jangan lakukan maksiat[13].  Justeru larangan melakukan kerosakan di bumi adalah larangan dari melakukan maksiat-maksiat yang boleh menghilangkan keberkatan bumi. hal ini sama sepertimana firman Allah berkenaan keberkatan bumi hilang seperti buah-buahan tidak berbuah disebabkan kekufuran rakyat firaun[14].

 

وَلَقَدْ أَخَذْنَا آلَ فِرْعَوْنَ بِالسِّنِينَ وَنَقْصٍ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ (130) – الأعراف

Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran.

 

 Justeru, fasad kepada penduduk bumi pula, seperti orang munafiq itu wujudkan prejudis dan pra sangka terhadap orang – orang yang beriman[15].

 

E.                 Menurut ZAMAKHSYARI, orang munafiq itu cenderung kepada orang-orang kafir yang mempengaruhi orang Islam untuk melaksanakan agenda mereka.

F.                  Jangan zahirkan maksiat kepada Allah. Ini pendapat AL-QAFFAL[16].

 

 

قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ (11)

 

Mereka jawab: Hanya kami sahaja kalangan yang melakukan islah

 

[13] pada perkataan  إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ, HAMKA terjemahkan dengan “tidak lain kerja kami, hanyalah berbuat kebaikan[17]

 

[14] Dalam ayat ini orang-orang munafiq ini menggunakan perkataan انما yang memberi maksud الحصر (membataskan).

a.                  Secara tersirat, masalah besar pada orang munafiq bahawa mereka anggap SEMUA YANG DATANG DARI MEREKA ADALAH BAIK, tidak ada yang tidak baik kecuali baik-baik belaka.

b.                  SHIHAB kata, mereka tidak ada lagi dorongan untuk memperbaiki diri[18].

c.                   USAIMIN kata, apabila اداة الحصر dikaitkan dengan جملة اسمية yang mengandungi الثبوت والإستمرار. Seakan-akan mereka memberitahu bahawa islah datang dari mereka, dan mereka tidak ada افساد walaupun sedikit[19]. Hal ini berbeza jika mereka jawab نحن المصلحون (ada alif dan lam), maksud disebaliknya adalah TIDAK ADA MUSLIH SELAIN DARI MEREKA. Namun, dalam susunan kata ayat مصلحون (tanpa ada alif dan lam), bermaksud mereka masih lagi iktiraf pihak lain juga melakukan muslih[20].

 

[15] Menurut USAIMIN, bencana besar adalah apa yang dilakukan oleh orang munafiq seperti dalam ayat ini; iaitu menampilkan kejahatan itu sebagai baik[21]. Hal ini kerana, kejahatan itu akan dianggap elok, dan manusia rasa tidak bersalah untuk lakukannya.

 

PENGAJARAN

[16] Menurut AL-RAZI, ayat ini adalah dalil bahawa menzahirkan iman adalah wajib bagi orang mukmin. Sebarang tindakan yang boleh mencipta keraguan terhadap keimanan wajib dihindari[22]. 



[1] Zahrah:128.

[2] Manar:1/132

[3] Usaimin:1/46.

[4] Zahrah:130.

[5] Kasyaf:1/62  | razi:2/306

[6] Kasyaf:1/62

[7] Asyur:1/284.

[8] Zahrah:129.

[9] Usaimina:1/46.

[10] Zad:1/32

[11] Zad:1/32

[12] Zad:1/32

[13] Usaimin:1/46.

[14] Usaimin:1/46

[15] Usaimin:1/46

[16] Razi:2/306

[17] Hamka:1/129.

[18] Shihab:1/105.

[19] Usaimin:1/47

[20] Usaimin:1/47

[21] Usaimin:1/48

[22] Razi:2/307

No comments:

Post a Comment

(2) SURAH AL-BAQARAH 22

  BAQARAH 2:22   الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْ...