|
SURAH AL-FATIHAH
1:1 |
بِسْمِ اللَّهِ
الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ (1)
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha
Mengasihani.
|
PENGENALAN |
[1] Bismillah adalah satu ayat daripada semua
surah kecuali surah البراءة. Ini adalah pendapat
majoriti ulama, seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar, Ibnu Al-Zubair, Abu Hurairah dan
Ali. Dari kalangan tabiin pula seperti 'Ata, Tawus, Said bin Jubair, makhul dan
al-Zuhri. Dalam kalangan ulamak mazhab, seperti imam Syafi'i dan Ahmad bin
hambal.
Mengikut
pendapat Imam Malik dan Imam Abu Hanifah, Bismillah bukan salah satu ayat
daripada semua surah termasuk Al-Fatihah[1].
[2] Setiap surah di mulai dengan bismillah,
seakan-akan Allah mahu mengajar kepada umat Islam bahawa setiap permulaan
pekerjaan hendaklah diasaskan atas nama Allah.
Nabi
Muhammad disuruh menyampaikan wahyu, itu juga atas nama Allah. Sebarang ucapan
yang keluar dari mulut baginda, bukanlah semata-mata atas kehendak diri
baginda, tetapi atas perintah dari Allah[2].
[3] Ayat yang mula-mula sekali diturunkan adalah اقرا باسم ربك الذي خلق, makanya dari sudut
pengamalan, Allah membuktikan itu melalui Al-Quran sendiri, iaitu apabila mahu
memulakan membaca Al-Quran, perlu membaca bismillah. Ia dimulai dengan membaca
surah al-fatihah[3].
|
بِسْمِ
اللَّهِ |
[1] Menurut Buya Hamka, perkataan Allah dalam
bahasa Melayu kuno dapat diertikan sebagai dewa dan Tuhan.
Buya
Hamka menukilkan kupasan Raghib al-Asfahani, bahawa perkataan Allah adalah dari
perkembangan dari kalimah الإله yang kalau hendak
menyebut banyak Tuhan mereka pakai kata jamak الآلهة[4].
[2] Raghib Al-Asfahani juga menyatakan, sejak
dahulu orang Arab itu di dalam hati sanubarinya mereka tidak mengakui tauhid
uluhiyyah, sehingga mereka sekali-kali tidak memakai kalimah Allah untuk yang
selain dari zat yang maha esa. Dan mereka tidak mahu menyebutkan Allah untuk
beratus-ratus berhala yang mereka sembah[5].
[3] Kata Hamka, kepercayaan akan adanya zat yang
maha kuasa adalah sama tumbuh dengan akal manusia. Namun ada sebahagian besar
mereka menggambarkan tuhan itu sebagai sesuatu yang amat ditakuti atau
menakutkan, seram dan kejam yang orang terpaksa memujanya oleh kerana takut
akan murkanya[6].
Dengan
sebab itu, orang Hindu Bali, walaupun mereka menyembah berbagai berhala, namun
mereka tetap percaya kepada SANG HYANG WIDHI yang bermaksud yang maha esa.
Kepercayaan agama Hindu pun sampai kepada puncak tertinggi sekali, iaitu kepada
SANG HYANG TUNGGAL[7].
Begitu
juga penemuan batu bersurat Terengganu yang ditulis dengan huruf Arab, lebih
kurang 1303 masihi, kalimah Allah telah diertikan dengan DEWATA MULIA RAYA[8].
[4] Perkataan اسم
berasal dari akar kata yang sama, iaitu السمو
yang bermakna tinggi; dan perkataan السمة
yang bermakna tanda.
Kata
SHIHAB, memang lama menjadi tanda bagi sesuatu usaha harus dijunjung tinggi[9].
[5] Menurut Al-Zamakhsyari dan ramai ulama
tafsir, orang-orang Arab sebelum kehadiran Islam, mereka memulai pekerjaan
mereka dengan menyebut nama Tuhan mereka, seperti بسم اللات وبسم
العز, sementara bangsa-bangsa lain memulai dengan menyebut nama raja
atau penguasa mereka[10].
Islam
pula mengajar, semua tuhan tuhan yang mereka sembah itu adalah palsu. Justeru
perlu kepada Tuhan yang sebenar, iaitu Allah. Makanya Islam mengajar agar
segala perbuatan yang baik, di mulai dengan membaca nama Allah.
Sebab
itu kita berjumpa dalam hadis, antara perkara yang diajar oleh nabi adalah,
apabila memulai tidur, kita membaca doa;
عَنْ
حُذَيْفَةَ، قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا
أَخَذَ مَضْجَعَهُ قَالَ: «اللهُمَّ بِاسْمِكَ اللهُمَّ أَحْيَا وَأَمُوتُ» -
السنن الكبري, النسائي, 10516
"Dengan
nama engkau aku hidup, dengan nama engkau aku mati"
Semua
ini terkandung di dalam maksud firman Allah;
قُلْ إِنَّ
صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (162) -
الأنعام
Katakanlah:
"Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah
untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
Begitu
juga, ketika makan. Dalam hadis, nabi ada berkata;
عن عُمَرَ بْنَ أَبِي
سَلَمَةَ، يَقُولُ: كُنْتُ غُلاَمًا فِي حَجْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانَتْ يَدِي تَطِيشُ فِي الصَّحْفَةِ، فَقَالَ لِي
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا غُلاَمُ، سَمِّ اللَّهَ،
وَكُلْ بِيَمِينِكَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ» - البخاري, 5376
“wahai budak, baca nama Allah, makan dengan tangan kanan kamu
dan makan makanan yang paling hampir dengan kamu”
Ketika setubuh. Dalam hadis, nabi saw bersabda:
عَنِ ابْنِ
عَبَّاسٍ، يَبْلُغُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «لَوْ
أَنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا أَتَى أَهْلَهُ قَالَ بِاسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ
جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا، فَقُضِيَ
بَيْنَهُمَا وَلَدٌ لَمْ يَضُرُّهُ» - البخاري, 141
“kalau
seseorang kamu datangi isterinya, dia membaca: dengan nama Allah, Ya Allah,
jauhikan kami dari syaitan dan jauhi syaitan akan apa yang telah kamu rezekikan
kepada kami. Dia diberikan anak antara kedua-duanya mereka yang syaitan tidak
dapat memudharatkannya”
|
الرَّحْمَنِ
الرَّحِيمِ (1) |
[6] Memandangkan dalam masyarakat manusia, Tuhan
difahami sebagai menakutkan, makanya Al-Quran memperkenalkan Allah dalam bentuk
yang pemurah dan penyayang[11].
[7] Dalam banyak-banyak nama Allah, hanya dua
nama ini yang disebut dan diminta agar diulang setiap masa. Kedua-dua nama ini,
mempunyai daripada akar kata yang sama, iaitu رحم.
Menurut Shihab, kemungkinan kedua sifat ini dipilih kerana sifat itulah yang
paling dominan. Hal ini ditegaskan oleh Allah dalam ayat;
وَرَحْمَتِي
وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ
(156) - الأعراف
"rahmatKu
meliputi tiap-tiap sesuatu[12]"
[8] Dalam bahasa melayu, apabila disebut rahim,
yang terbayang dalam fikiran adalah peranakan. Apabila disebut Rahim, maka yang
dapat terlintas dalam benak adalah ibu dan anak dan ketika itu dapat terbayang
betapa besar kasih sayang yang dicurahkan sang ibu kepada anak.
Sudah
pasti tidak boleh dibandingkan antara kasih sayang ibu kepada anak berbanding
kasih sayang tuhan kepada hamba. Dalam hadis—Umar bin al-Khattab berkata:
عَنْ عُمَرَ
بْنِ الخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: قَدِمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَبْيٌ، فَإِذَا امْرَأَةٌ مِنَ السَّبْيِ قَدْ تَحْلُبُ
ثَدْيَهَا تَسْقِي، إِذَا وَجَدَتْ صَبِيًّا فِي السَّبْيِ أَخَذَتْهُ،
فَأَلْصَقَتْهُ بِبَطْنِهَا وَأَرْضَعَتْهُ، فَقَالَ لَنَا النَّبِيُّ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَتُرَوْنَ هَذِهِ طَارِحَةً وَلَدَهَا فِي النَّارِ»
قُلْنَا: لاَ، وَهِيَ تَقْدِرُ عَلَى أَنْ لاَ تَطْرَحَهُ، فَقَالَ: «لَلَّهُ
أَرْحَمُ بِعِبَادِهِ مِنْ هَذِهِ بِوَلَدِهَا» - البخاري, 5999
"Rasulullah
saw pernah memperoleh beberapa orang tawanan perang. Ternyata dari tawanan
tersebut ada seorang perempuan yang menyusui anak kecil, apabila dia
mendapatkan anak kecil dalam tawanan tersebut, maka ia akan mengambilnya dan
menyusuinya, lalu Nabi saw bersabda kepada kami: 'Menurut kamu, apakah
perempuan itu bersedia melemparkan bayinya ke dalam api?' Kami menjawab;
'Sesungguhnya ia tidak akan bersedia melemparkan anaknya ke dalam api selama ia
masih sanggup menghindarkannya dari api tersebut' Lalu baginda bersabda:
'Sungguh, kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya melebihi kasih sayang perempuan
itu terhadap anaknya”
[9] Perbezaan antara الرحمن
dan الرحيم;
Satu:
Abdullah
bin al-Mubarak berkata, makna الرحمن
yang itu penyayangnya Allah yang apabila diminta, pasti Dia akan memberi.
Adapun الرحيم bawa apa bila hamba
tidak meminta, maka Dia murka.
Pendapat
ini berasaskan kepada satu sabda Nabi:
عَنْ أَبِي
هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
«إِنَّهُ مَنْ لَمْ يَسْأَلِ اللَّهَ يَغْضَبْ عَلَيْهِ» - الترمذي, 3373
Barangsiapa
yang tidak meminta kepada Allah, alah bakal murka kepadaNya[13].
Dua:
Pendapat
العرزمي, sifat Rahman Allah adalah diberikan
kepada semua makhluk. Hal ini berasaskan kepada beberapa firman Allah;
الرَّحْمَنُ
عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى (5) – طه
ثُمَّ اسْتَوَى
عَلَى الْعَرْشِ الرَّحْمَنُ فَاسْأَلْ بِهِ خَبِيرًا (59) - الفرقان
Adapun
sifat rahim Allah, dikhususkan kepada orang yang beriman sahaja. Firman Allah;
وَكَانَ
بِالْمُؤْمِنِينَ رَحِيمًا (43) - الأحزاب
|
PENGAJARAN |
[10] Abduh menilai bahawa penggabungan tiga kata
yang menunjuk Allah yang maha esa itu dalam ucapan basmalah, merupakan bantahan
tidak langsung kepada orang-orang nasrani yang menganut fahaman triniti. Hal
ini kerana, orang nasrani memulai doa-doa mereka dengan menyebut Tuhan bapak,
Tuhan anak dan roh kudus.
Makanya
Islam datang, membantah mereka bahawa Allah yang maha esa, walaupun
nama-namaNya banyak tetapi hanya nama dan sifat yang banyak bukan zat yang
dinamai dan disifati itu[14].
Menurut
TAHIR IBNU ASYUR pula, basmalah dengan ketiga kata yang menunjukkan kepada
Allah telah dikenal jauh sebelum turunnya Al-Quran. Hal ini merujuk kepada
firman Allah berikut;
Pertama;
berkenaan nama Allah al-Rahman, Nabi Ibrahim pernah menggunakannya;
يَا أَبَتِ
إِنِّي أَخَافُ أَنْ يَمَسَّكَ عَذَابٌ مِنَ الرَّحْمَنِ فَتَكُونَ لِلشَّيْطَانِ
وَلِيًّا (45) - مريم
"
Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan kena azab dari (Allah)
Ar-Rahman disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan
menjadilah ayah rakan bagi Syaitan di dalam neraka".
Kedua:
penggunaan kata al-Rahim pula, digunakan oleh Nabi Ibrahim;
رَبَّنَا
وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ
وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
(128) - البقرة
"Wahai
Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri)
kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah
diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami,
dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi
Maha Mengasihani.
[1] Kathir:1/116
[2] Hamka:1/67
[3] Shihab:1/11
[4] Hamka:1/67
[5] Hamka:1/68
[6] Hamka:1/69
[7] Hamka:1/69
[8] Hamka:1/68
[9] Shihab:1/13
[10] Shihab:1/13
[11] Hamka:1/70
[12] Shihab:1/21
[13] Kathir:1/125
[14] Shihab:1/23
No comments:
Post a Comment