Monday, August 21, 2023

(2) SURAH AL-BAQARAH 20

 

BAQARAH 2:20

 

يَكَادُ الْبَرْقُ يَخْطَفُ أَبْصَارَهُمْ كُلَّمَا أَضَاءَ لَهُمْ مَشَوْا فِيهِ وَإِذَا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَذَهَبَ بِسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (20)

Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka; tiap-tiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan dalam cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkanNya pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 19

AYAT 20

 

Orang munafiq tidak mahu mendengar kebenaran.

 

 

Orang munafiq ambil manfaat dari cahaya kilat, tetapi bila hilang cahaya, mereka kembali kepada asal

 

 

[1] Dalam ayat 19, dijelaskan berkenaan GURUH dan KILAT. Setelah menyebut berkenaan GURUH, iaitu mereka tutup telinga. Maka dalam ayat ini, dijelaskan pula berkenaan KILAT, yang ada kaitan dengan penglihatan mereka yang berkait dengan mata mereka.

 

[2] Setelah dijelaskan bahawa MEREKA TIDAK MAHU MENDENGAR kebenaran, maka ayat ini menjelaskan pula berkenaan PENGLIHATAN MEREKA PULA; iaitu, bagaimana mereka ambil manfaat dari al-Quran, tetapi sekadar manfaat dunia sahaja.

 

Hidup manusia tidak boleh lepas dari soal manfaat. Ia terbahagi kepada dua;

a.                  Manfaat dunia

b.                  Manfaat akhirat.

 

Orang munafiq – Yahudi, mereka ambil manfaat dunia dari al-Quran dengan menampilkan diri mereka seperti selaras dengan islam, tetapi itu sekadar di hadapan orang-orang islam sahaja.

 

Namun, apabila mereka jauh dari pandang mata Nabi Muhammad dan orang islam, maka mereka kekal dengan pendirian mereka;

كُلَّمَا أَضَاءَ لَهُمْ مَشَوْا فِيهِ وَإِذَا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا

 

Perilaku mereka ini sudah dijelaskan dalam ayat sebelum ini, iaitu firman Allah;

وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آمَنُوا قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا إِلَى شَيَاطِينِهِمْ قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ (14) اللَّهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ وَيَمُدُّهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ (15) – البقرة

 

[3] Kebenaran al-Quran yang dipamerkan itu benar-benar di hadapan mata mereka yang sudah pasti mereka nampak;

يَكَادُ الْبَرْقُ يَخْطَفُ أَبْصَارَهُمْ

 

Namun, mereka tetap tidak menerima kebenaran yang mereka nampak tersebut. Namun, mereka hanya mengambil manfaat hanya pada perkara yang untungkan urusan dunia mereka sahaja;

لَّمَا أَضَاءَ لَهُمْ مَشَوْا فِيهِ

 

[4] Dalam ayat disebutkan bahawa ketika kilat memanah, maka ada cahaya. Dengan cahaya itu, mereka pun berjalan. Apabila cahaya kilat itu hilang, mereka berdiri kembali.

 

Sifat bagi cahaya kilat tidak seperti cahaya yang lain; iaitu ia hanya memancar satu detik sahaja. Dengan cahaya kadar satu detik itu, orang munafik tetap ambil manfaat untuk kepentingan dirinya, walaupun dengan kadar satu langkah sekalipun.

 

Namun, jika tidak ada ruang untuk mereka mendapat manfaat lagi, maka mereka akan kekal kembali kepada sikap mereka yang asal;

وَإِذَا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا

 

[5] Cara mereka ambil manfaat untung kepentingan mereka sahaja ini cukup biadap. Justeru, pendengaran dan penglihatan yang dianugerahkan oleh Allah mereka tidak syukuri. Jika Allah mahu ambil balik nikmat pendengaran dan penglihatan, boleh sahaja bagi Allah;

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَذَهَبَ بِسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ

 

Dalam ayat ini, digunakan perkataan شاء bukan اراد yang makna شاء adalah berkehendak dalam maksud terkandung maksud memilih. Bermaksud, jika Allah MAHU MEMILIH untuk hilangkan pendengaran dan penglihatan mereka, itu boleh sahaja. Namun, Allah tidak pilih begitu kerana mahu masih lagi memberi ruangan kepada mereka untuk mendapat lagi hidayah dari al-Quran.

 

[6] Dalam ayat sebelum, disebutkan bahawa guruh dan kilat. Dalam ayat ini disebutkan hilangkan pendengaran dan penglihatan; bermaksud, kalau dengan guruh, boleh sahaja Allah hilangkan pendengaran mereka; kalau dengan kilat, boleh sahaja Allah hilangkan penglihatan mereka.

 

[7] manusia perlu sedar, Allah MAHU MEMILIH untuk menghilangkan pendengaran dan penglihatan mereka atau tidak, itu semua tidak menjadi susah bagi Allah, kerana Allah itu adalah TUHAN YANG BERKUASA PADA SEGALA PERKARA;

إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

 

[8] Setelah Allah menyebut KES, maka Allah pun sebut KAEDAH UMUM, iaitu dia berkuasa pada semua perkara yang tidak ada sesiapa pun dapat mencabar kekuasaanNya.

 

[9] kalau difikir balik, pada ayat sebelum ini, dinyatakan bahawa orang munafiq – yahudi ini pekak, bisu dan buta;

صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ

 

Namun, dalam ayat ini pula, Allah tidak pula menjadikan mereka itu pekak dan buta. Bukankah ini sudah bercanggah?

 

Dijawab:

Perlu dibezakan antara dua perkara;

a.      Dari sudut fizik, iaitu dengar melalui telinga dan melihat melalui mata.

b.      Dari sudut metafizik, iaitu dengar dan melihat dengan hati.

 

Dalam ayat sebelum 18, dijelaskan berkenaan METAFIZI, iaitu merujuk kepada maksud HATI, sedangkan dalam ayat ke-20 pula, dijelaskan berkenaan fizik, iaitu saluran ilmu untuk mereka mendengar dan melihat masih tidak ditutup lagi.

 

يَكَادُ الْبَرْقُ يَخْطَفُ أَبْصَارَهُمْ

 

“hampir-hampir (nyarislah) kilat menyambar penglihatan mereka”

 

[10] perkataan يكاد bermaksud يقارب yang terjemah dengan “hampir-hampir”. IBN AL-JAWZI kata, maksudnya adalah;

وهي كلمة إذا أثبتت انتفى الفعل، وإذا نفيت ثبت الفعل

“Kalimah yang apabila sabit maka ternafi perbuatan. Apabila ternafi, maka sabit perbuatan tersebut[1]

 

Atau;

يشهد للنفي عند الإثبات

Penafian ketika isbat sesuatu perbuatan[2]

 

[11] Perkataan يخطف bermaksud mengambil dengan cepat[3]. Basmeh terjemahkan dengan “menyambar (menghilangkan)”.

 

[12] Dalam qiraat Mujahid, dibaca dengan kasrah; يخطف (Yakhtifu), tetapi bacaan al-Hasan yang dianggap yang paling fasih oleh AL-RAZI adalah fathah (Yakhtafu). Dalam bacaan IBN MAS’UD pula, dengan يختطف (Yakhtatipu)[4].

 

كُلَّمَا أَضَاءَ لَهُمْ مَشَوْا فِيهِ

 

“ketika kilat itu memancarkan untuk mereka, mereka pun berjalan dalam cahaya tersebut”

 

[13] iaitu, mereka ambil manfaat dari cahaya islam, iaitu dengan mereka menggambarkan diri mereka sebagai islam, maka harta dan darah mereka terselamat. Bahkan, mereka dapat harta ghanimah. Itu yang mereka harap dari Islam[5].

 

[14] IBN AL-JAWZI menyatakan, maksud disebalik ayat ini ada beberapa tafsiran ulama seperti berikut;

a.       IBN ABBAS dan AL-SUDDIY kata, ketika al-Quran sampai kepada mereka pada perkara yang mereka suka sahaja mereka ikut.

b.      QATADAH kata, mereka ambil manfaat dari sudut keselamatan pada harta dan nyawa mereka[6].

 

وَإِذَا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا

 

“apabila menjadi gelap terhadap mereka, mereka pun berhenti berjalan”

 

[15] Apabila mereka tidak dapati sebarang manfaat, maka mereka kembali kepada asal mereka; iaitu benci keimanan[7].

 

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَذَهَبَ بِسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ

 

“kalau Allah MAHU PILIH, pasti Allah akan jauhkan pendengaran dan penglihatan mereka (al-Quran)”

 

[16] Dalam ayat ini, KEHENDAK ALLAH itu digunakan perkataan شاء, sedangkan ada perkataan lain disebut اراد. Secara dasarnya, شاء lebih umum dari اراد yang perbezaan antara kedua-duanya adalah;

a.      Kalau guna شاء, ia merujuk kepada kehendak yang TIDAK ADA TAHDID, iaitu masih lagi terbuka kepada pilihan, sama ada mahu dibuat atau tidak dibuat.

 

لَوْ أَرَادَ اللَّهُ أَنْ يَتَّخِذَ وَلَدًا لَاصْطَفَى مِمَّا يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ سُبْحَانَهُ هُوَ اللَّهُ الْوَاحِدُ الْقَهَّارُ (4) – الزمر

Kalaulah Allah hendak mempunyai anak, tentulah Ia memilih mana-mana yang dikehendakiNya dari makhluk-makhluk yang diciptakanNya; Maha Sucilah Ia (dari menghendaki yang demikian). Dia lah Allah, Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaanNya segala-galanya

 

Atau;

إِنَّ هَذِهِ تَذْكِرَةٌ فَمَنْ شَاءَ اتَّخَذَ إِلَى رَبِّهِ سَبِيلًا (29) وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا (30) يُدْخِلُ مَنْ يَشَاءُ فِي رَحْمَتِهِ وَالظَّالِمِينَ أَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا (31) - الإنسان

Sesungguhnya (segala keterangan yang disebutkan) ini, menjadi peringatan; maka sesiapa yang mahukan (kebaikan dirinya) bolehlah ia mengambil jalan yang menyampaikan kepada keredaan Allah (dengan iman dan taat). * Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya). * Ia memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmatNya (dengan ditempatkannya di dalam Syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

Atau;

 

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ (56) - القصص

Sesungguhnya kamu tidak dapat memberi hidayah kepada orang yang kamu sayang, tetapi Allah memberi hidayah kepada siapa yang Dia mahu. Dia amat mengetahui terhadap orang yang dapat hidayah

 

b.      Kalau guna اراد, ia merujuk kepada kehendak yang ada TAHDID, iaitu tidak ada kaitan dengan pilihan. Contohnya;

 

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ (82)- يس

Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi

 

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ (185) - البقرة

Allah hendak kamu mudah dan Dia tidak hendak kamu susah”

 

[17] Dalam ayat ini, digunakan lafaz لَذَهَبَ بِسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ, iaitu متعدى lafaz ذهب dengan ب. Justeru, diterjemahkan dengan “membawa pergi” atau “menjauhkan dari”

 

Makanya, apabila ayat ini menggunakan perkataan شاء bukan اراد dan pada kata ذهب pula متعدى dengan ب, maka maksud ayat adalah atas KEHENDAK ALLAH,  boleh sahaja ALLAH MEMILIH untuk membawa pergi atau menjauhkan pendengaran mereka dari mendengar kebenaran, menjauhkan penglihatan mereka dari melihat kebenaran. Namun, Allah BERKEHENDAK MEMILIH agar mereka ada lagi pendengaran untuk mendengar kebenaran, dan penglihatan untuk mereka masih dapat melihat kebenaran, maka Allah tidak jauhkan semua itu dari mereka.

 

إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (20)

 

[18] Orang-orang munafiq perlu ambil ingat bahawa semua ini tidak pelik bagi Allah. Hal ini kerana, Allah itu maha berkuasa pada setiap perkara.

 

 

 



[1] Zad:1/41

[2] Zad:1/41

[3] Razi:2/318

[4] Razi:2/318

[5] razi:2/316

[6] Zad:1/42

[7] razi:2/316

(2) SURAH AL-BAQARAH 19

AL-BAQARAH 2:19

 

أَوْ كَصَيِّبٍ مِنَ السَّمَاءِ فِيهِ ظُلُمَاتٌ وَرَعْدٌ وَبَرْقٌ يَجْعَلُونَ أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ مِنَ الصَّوَاعِقِ حَذَرَ الْمَوْتِ وَاللَّهُ مُحِيطٌ بِالْكَافِرِينَ (19)

Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita, dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu.

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 18

AYAT 19

 

Hati orang munafiq itu pekak, bisu dan buta. Dengan sebab itu, mereka tidak akan menerima kebenaran.

 

 

Dijelaskan bentuk pekak mereka, iaitu tutup telinga dari mendengar ancaman azab yang mereka rasakan seperti halilintar kilat dan guruh.

 

 

[1] Shihab kata, kalau ayat ke-17 dan 18 membuat perumpamaan yang melibatkan kafir dan munafiq, maka ayat ini pula dibuatkan perumpamaan khusus untuk orang munafiq sahaja[1].

 

Hal ini kerana, cahaya hidayah dijauhkan bukan sekadar dari orang munafiq, bahkan turut sama dijauhkan dari orang kafir.

 

Namun, apabila disebutkan bahawa diambil manfaat dari cahaya, ini berlaku pada orang munafiq.

 

[2] Allah membuat pemisalan dengan hidayah al-Quran yang diberikan kepada orang munafiq – Yahudi ini adalah AIR DARI LANGIT

 

Menarik untuk ditadabburkan bahawa hidayah al-Quran itu diumpamakan dengan air yang turun dari langit. Ini membuktikan bahawa sifat bagi al-Quran itu bersih dari sebarang kotoran, kerana air dari langit disifatkan al-Quran dalam ayat lain sebagai air bersih. Firman Allah;

 

وَأَنْزَلْنا مِنَ السَّماءِ مَاءً طَهُوراً [الْفُرْقَانِ: 48]

“Kami turunkan dari langit itu air yang tohur”

 

Dalam ayat, perkataan yang digunakan adalah طَهُوراً, bukan طاهر. Kalau digunakan perkataan طاهر, ia bermaksud air yang bersih, sedangkan penggunaan perkataan طهور, ia bermaksud air yang bersih dan dapat membersihkan.

 

Justeru, sifat bagi hidayah al-Quran ini bukan sekadar ia adalah bersih, bahkan ia dapat membersihkan kotoran syirik dalam hati manusia.

 

[3] Menariknya lagi, Allah kaitkan air hujan yang diturunkan dari langit, sedangkan air itu boleh sahaja didapati dari lautan, dari sungai dan sebagainya.

 

Pertama, kita kena sedar bahawa semua perkara hidup dengan sebab air. Firman Allah;

 

{وَجَعَلْنَا مِنَ المآء كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ} [الأنبياء: 30]

“Kami jadikan dari air itu setiap perkara dapat kehidupan”

 

Kedua, apabila disebutkan tanah gersang dan mati, untuk hidupkannya; jika ambil dari air sungai atau air laut, ia memerlukan kepada tenaga manusia untuk punggah air. Namun, jika dikaitkan dengan air hujan, ia tidak perlu kepada tenaga manusia; ia benar-benar atas pilihan Allah untuk turunkan air hujan itu pada tanah yang gersang.

 

Demikianlah al-Quran, ia bukan diturunkan atas pilihan makhluk, tetapi benar-benar atas kehendak Allah.

 

[4] Dalam pada menjelaskan berkenaan hujan yang turun, disebutkan bahawa pada langit itu فِيهِ ظُلُمَاتٌ – ada kegelapan.  

 

Perkataan ظُلُمَاتٌ ada ketika digunakan dalam makna zahir, seperti firman Allah;

 

وَذَا النُّونِ إِذْ ذَهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَنْ لَنْ نَقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ (87) الأنبياء

Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri".

 

Dan ayat;

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَجَعَلَ الظُّلُمَاتِ وَالنُّورَ ثُمَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ (1) – الأنعام

Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam pada itu, orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.

 

Dari sudut makna MAJAZ pula, dalam kebiasaan al-Quran, perkataan ظُلُمَاتٌ – gelap memberi maksud kesesatan. Contohnya Firman Allah;

 

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُمْ مِنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ أُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (257)  - البقرة

Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

 

الر كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَى صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ (1) – ابراهيم

Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.

 

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَى بِآيَاتِنَا أَنْ أَخْرِجْ قَوْمَكَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَذَكِّرْهُمْ بِأَيَّامِ اللَّهِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ (5) – ابراهيم

Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: "Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. "Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur.

 

Dalam ayat ini pula, disebutkan bahawa orang munafiq itu diumpamakan seperti orang yang ditimpakan hujan dari langit. Pada langit itu, ada الظُّلُمَاتِ – kegelapan.

 

Persoalannya, kenapa dikaitkan langit yang gelap dengan hujan?

 

Jawab:

Menjadi kebiasaan bahawa sebelum hujan, akan berlaku mendung. Langit menggelap sebelum turunnya hujan. Maka demikian juga manusia yang berada dalam hidayah.

 

Iaitu, manusia itu bermula dari kesesatan, kemudian mendapat hidayah. Hal ini ada disebut dalam ayat lain;

 

وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَى (7) – الضحى

Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu - Al-Quran)?

 

Demikianlah yang berlaku pada munafiq – Yahudi; mereka dari agama yahudi yang penuh dengan kesesatan. Justeru, dengan kedatangan Islam, mereka diumpakan hujan yang turun kepada mereka.

 

[5] dalam ayat disebutkan bahawa, pada hujan tersebut bukan sekadar ada gelap, tetapi turut ada juga GURUH dan KILAT yang dalam pentafsiran ulama tafsir, mereka berikan pelbagai perspektif.

 

Namun, pentafsiran yang paling popular adalah guruh dan kilat ini merujuk kepada ancaman azab yang terkandung dalam al-Quran.

 

Ancaman azab berbentuk guruh, memberi maksud PENDENGARAN, sedangkan ancaman azab berbentuk kilat, memberi maksud PENGLIHATAN.

 

Mendengar pesanan azab dari al-Quran seperti berkenaan ayat-ayat al-Quran yang menyebut berkenaan azab di akhirat kelak, sedangkan melihat pesanan azab itu adalah dengan mereka melihat tempat-tempat yang telah Allah binasakan seperti kaum ‘Ad, Kaum Tsamud dan sebagainya.

 

Hal ini kerana, surah al-Baqarah diturunkan di Madinah. Semasa Nabi saw di mekah lagi, sudah banyak ayat-ayat al-Quran yang diturunkan yang menyebut berkenaan kebinasaan terhadap kaum-kaum terdahulu.

 

Justeru, mereka sudah diberitahu berkenaan punca kehancuran terhadap kaum-kaum terdahulu yang segala tempat-tempat tersebut berada di keliling mereka sahaja.

 

[6] Disamping mereka ambil manfaat dari al-Quran (air hujan) serta tetap mendengar dan melihat ancaman azab tersebut, mereka boleh lagi bertahan dalam pada mereka tidak suka. Namun, apabila sampai kepada HALILINTAR – الصواعق, mereka tidak tahan lagi. Menyebabkan mereka tutup telinga mereka dengan menggunakan jar-jari mereka.

 

[7] Walaupun guruh dan kilat bermaksud ancaman azab dan kemurkaan Allah, tetapi dimulakan dengan GURUH terlebih dahulu berbanding KILAT. Kenapa?

 

Jawab:

Guruh merujuk kepada bunyi, sedangkan kilat merujuk kepada penampakan.

 

Dalam menjelaskan manusia mendapat ilmu, al-Quran mulakan dengan mendengar terlebih dahulu. Kemudian, baru disebut berkenaan pendengaran. Firman Allah;

 

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا (36)  - الإسراء

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”

 

وَاللَّهُ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لَا تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (78) – النحل

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.

 

[8] Dalam penjelasan IBN ASYUR, semasa Nabi saw membacakan al-Quran, orang-orang munafiq ini turut sama hadir dalam majlis Nabi. Namun, apabila sampai kepada ayat-ayat berkenaan azab akhirat, mereka rasa seperti tersindir sepertimana guruh dan kilat serta halilintar yang memanah hati mereka. Dengan sebab itu, mereka tutup telinga mereka dari mendengar ayat-ayat al-Quran tersebut[2].

 

[9] Dalam ayat ini, Allah menjelaskan bahawa orang munafiq – Yahudi ini tidak mahu mendengar kebenaran terlebih dahulu. Makanya, Allah menyatakan bahawa mereka tutup telinga dengan sebab dengar halilintar.

 

[10] Masalah besar pada munafiq – yahudi ini adalah mereka tidak mahu terima agama Islam ini secara sempurna. Mereka terima perkara agama yang selaras dengan keinginan mereka. Makanya mereka يَجْعَلُونَ أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ – tutup telinga berkenaan الصواعق – halilintar; iaitu dalam hal yang melibatkan ancaman azab dan kemurkaan Allah.

 

Menerima Islam selaras dengan kehendak dan menolak yang berbaki, ia selaras dengan firman Allah;

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ (85) – البقرة

Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

 

[11] Allah kaitkan bahawa mereka tidak mahu dengar ancaman azab itu kerana TAKUT KEPADA MATI. Hal ini kerana, ancaman azab ini tidak akan dihadapi kecuali selepas mati.

 

[12] Walaupun mereka takut dengan mati yang dengan itu mereka tidak mahu mendengar ancaman azab, Allah tetap memberikan mereka mendengar ancaman tersebut kerana segala keadaan mereka di bawah kawal selia Allah swt.

 

أَوْ كَصَيِّبٍ مِنَ السَّمَاءِ فِيهِ ظُلُمَاتٌ وَرَعْدٌ وَبَرْقٌ

 

“bahkan, (perumpamaan mereka) seperti hujan bermanfaat turun dari atas. Pada atas itu, ada gelap, guruh dan kilat”

 

[13] perkataan أو (atau); kata ZAMAKHSYARI, asal perkataan itu memberi maksud “syak”; iaitu salah satu dari beberapa perkara. Namun, ia boleh juga boleh bermaksud MAJAZ yang memberi maksud التسوية (Kesamaaan)[3] yang dengan itu, SHIHAB terjemahkan dengan BAHKAN[4].

 

[14] Dalam ayat ini, ada 5 perkara;

a.                  Hujan

b.                  Gelap

c.                   Guruh

d.                  Kilat.

e.                  Halilintar.

 

[15] ZAMAKHSYARI kata, Islam diumpamakan dengan air hujan. Kerana, air hujan dapat suburkan bumi yang gersang, sepertimana Islam dalam suburkan hati yang mati. Gelap dibandingkan dengan kekufuran; guruh dan kilat diumpamakan dengan ujian dan bala yang tertimpa kepada mereka[5].

 

[16] menurut HAMKA, hujan itu adalah perumpamaan bagi KEBENARAN. Sedangkan guruh bermaksud PERINGATAN-PERINGATAN YANG KERAS yang mengiringi penjelasan terhadap kebenaran tersebut. Kilat pula, bermaksud adalah GAMBARAN KEMURKAAN DAN ANCAMAN dari ALLAH[6].

 

Hamka kata, dalam pada mereka mahukan hujan, tetapi mereka tidak mahu kepada bunyi guruh dan cahaya kilat, walhal itu sememangnya berlaku apabila hujan[7]. Iaitu, mereka boleh mendengar berkenaan hidayah, tetapi mereka tidak mahu mendengar sebarang ancaman azab dan kemurkaan Ilahi.

 

[17] SHIHAB menjelaskan bahawa tuhan umpamakan hujan sebagai petunjuk al-Quran yang sifat bagi hujan itu bahawa ia turun terus dari langit, memberikan maksud bahawa AL-QURAN ITU ADALAH DATANG BUKAN DARI PENGALAMAN ATAU NALAR MANUSIA.

 

Air hujan itu pula, apabila jatuh pada tanah yang gersang yang merujuk kepada hati yang mati; jika air dapat hidupkan bumi yang mati, maka al-Quran dapat menghidupkan hati yang mati.

 

Adapun maksud dengan GELAP, GURUH dan KILAT pula, ia bermaksud bahawa ayat-ayat al-Quran itu mengandungi kritik dan kecaman dalam menyembuhkan penyakit-penyakit dalam hati manusia[8].

 [18] IBN AL-JAWZI kata, perkataan الرعد – guruh dalam konteks ayat ada beberapa tafsiran ulama seperti berikut;

a.                  Ibn abbas kata, ia bermaksud التخويف – ayat-ayat al-Quran yang menimbulkan perasaan takut dan gerun.

b.                  Mujahid dan al-Suddiy kata, mereka gerun terhadap musibah yang menimpa mereka apabila Nabi dan para mukmin tahu nifaq mereka.

c.                   Guru Ibn al-Jawzi kata, ia bermaksud mereka takut terhadap seruang kepada jihad[9].

 

[19] Dalam ayat ini, disebutkan bahawa hujan turun dari langit yang dikaitkan dengan gelap. Menurut USAIMIN, GELAP dalam ayat ini adalah مصاحبة iaitu bersekali dengan datangnya hujan. Ia meliputi tiga gelap;

A.                  Gelap malam

B.                  Gelap awan

C.                  Gelap hujan.

 

Gelap dalam ayat ini merujuk kepada gelap malam, kerana melihat pada sambungan ayat yang menyebut bahawa apabila ada pancaran cahaya, mereka nampak jalan. Bila gelap, mereka tidak nampak jalan - يَكَادُ الْبَرْقُ يَخْطَفُ أَبْصَارَهُمْ كُلَّمَا أَضَاءَ لَهُمْ مَشَوْا فِيهِ وَإِذَا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا[10]

 

Ini memberi gambaran, gelap tersebut amat gelap. Sudahlah ia malam yang sedia gelap, tambahan pula gelap hujan serta awan yang gelap.

 

[20] Sifat bagi hujan adalah manfaat. Namun, manfaat itu boleh hilang apabila disertai dengan sesuatu yang mudharat. Demikian juga orang munafiq yang menzahirkan keimanan. ia bermanfaat tetapi hilang apabila tidak ikhlas.

 

[21] kata AL-RAZI, hujan itu diumpamakan al-Quran dan Iman, sedangkan GELAP, GURUH dan KILAT diumpamakan perkara yang susah dari dilakukan oleh orang munafiq. Perkara susah itu seperti solat, puasa, jihad dan sebagainya. Orang munafiq itu tidak dapat menerima iman dan al-Quran kerana faktor-faktor perkara susah ini[11].  

 

[22] menurut USAIMIN, hujan bermaksud AL-QURAN, sedangkan guruh adalah janji-janji azab (الوعيد) yang ada dalam al-Quran. kilat pula janji-janji nikmat dalam syurga (الوعد) yang ada dalam al-Quran[12].

 

[23] Perkataan صيب, ABU ZAHRAH kata, ia adalah wazan فيعل (fai-‘il) dari kata صاب يصوب yang bermaksud TURUN. Ia berasal dari kata صيوب (Soywib) yang bergabung antara huruf “Ya” dan “Waw”. Lalu diganti “waw” kepada “ya” dan diidghamkan, maka jadi صيب sepertimana perkataan ميت, سيد, هين dan لين. Dalam kupasan sebilangan ulama Kufah pula, ia berasal dari kata صويب (Sowib) atas wazan فعيل (Fa’il).[13]

 

[24] Dalam ayat ini, perkataan yang digunakan adalah صيب yang diterjemah dengan HUJAN. Terdapat kupasan ulama berkenaan perkataan tersebut seperti berikut;

a.                  Ia bermakna awan.

b.                  Ia bermakna المطر – hujan yang turun.

c.                   Ia berasal dari kata صاب يصوب apabila قصد iaitu merujuk kepada hujan yang baik. Hal ini merujuk kepada doa yang diajar dalam hadis bahawa Nabi saw berkata:

اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ صَيِّبًا هَنِيئًا

“Ya Allah, jadikannya hujan yang baik[14]

 

[25] Dalam penjelasan IBN ASYUR, air hujan amat sesuai dijadikan sebagai perupamaan bagi maksud hidayah Islam dan al-Quran kerana sifat bagi hujan adalah airnya bersih dan dapat membersihkan. Demikian juga berlaku pada hidayah islam dan al-Quran yang mempunyai ciri-ciri yang sama, iaitu ianya bersih dan dapat membersihkan dari kotoran syirik. Dalam hadis—daripada Abu Musa bahawa Nabi saw bersabda;

عَنْ أَبِي مُوسَى، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنَ الهُدَى وَالعِلْمِ، كَمَثَلِ الغَيْثِ الكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا، فَكَانَ مِنْهَا نَقِيَّةٌ، قَبِلَتِ المَاءَ، فَأَنْبَتَتِ الكَلَأَ وَالعُشْبَ الكَثِيرَ، وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ، أَمْسَكَتِ المَاءَ، فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ، فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا، وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى، إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لاَ تُمْسِكُ مَاءً وَلاَ تُنْبِتُ كَلَأً، فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ فِي دِينِ اللَّهِ، وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ فَعَلِمَ وَعَلَّمَ، وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا، وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ» - البخاري 79

"Perumpamaan petunjuk dan ilmu yang Allah mengutusku dengan membawanya adalah seperti hujan yang lebat yang turun mengenai tanah. Diantara tanah itu ada jenis yang dapat menyerap air sehingga dapat menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rerumputan yang banyak. Dan di antaranya ada tanah yang keras lalu menahan air (tergenang) sehingga dapat diminum oleh manusia, memberi minum haiwan ternak dan untuk menyiram tanaman. Dan yang lain ada permukaan tanah yang berbentuk lembah yang tidak dapat menahan air dan juga tidak dapat menumbuhkan tanaman. perumpamaan itu adalah seperti orang yang faham agama Allah dan dapat memanfa'atkan apa yang aku diutus dengannya, dia mempelajarinya dan mengajarkannya, dan juga perumpamaan orang yang tidak dapat mengangkat darjat dan tidak menerima hidayah Allah dengan apa yang aku diutus dengannya"[15].

 

[26] Digunakan perkataan كصيب tidak digunakan perkataan كصائب. Menurut AL-RAZI, perkataan صيب lebih balagah berbanding perkataan صائب.[16]

 

Digunakan dalam lafaz Nakirah, ZAMAKHSYARI kata, ia memberi maksud bahawa hujan tersebut lebat[17].

 

[27] Dalam ayat disebutkan bahawa “hujan itu turun” مِنَ السَّمَاءِ – daripada langit.

 

Hujan sudah pasti datang dari langit. Namun, kenapa disebutkan juga dalam ayat?

 

Kata AL-RAZI, kalau tidak disebut مِنَ السَّمَاءِ, kemungkinan akan ada kefahaman bahawa air hujan itu turun di satu juzuk dari langit sahaja, sedangkan maksud yang mahu disampaikan oleh ayat adalah merujuk bahawa air hujan itu turun dari semua juzuk dari langit. Hal ini lebih selaras dengan penggunakan صيب yang mengandungi maksud mubalaghah.[18]

 

Dalam kupasan USAIMIN, perkataan السماء dalam konteks ayat merujuk kepada makna العلو iaitu tinggi[19]. Dalam penjelasan ZAMAKHSYARI, setiap berada di atas disebut sebagai سماء. Penggunaan kata yang memberi makna sebegitu berlaku dalam firman Allah;

 

كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُها ثابِتٌ وَفَرْعُها فِي السَّماءِ [إِبْرَاهِيم: 24]

sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.

 

Jika dilihat pada ayat lain, ada dijelaskan bahawa air hujan itu turun dari awan. Firman Allah;

 

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُزْجِي سَحَابًا ثُمَّ يُؤَلِّفُ بَيْنَهُ ثُمَّ يَجْعَلُهُ رُكَامًا فَتَرَى الْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلَالِهِ وَيُنَزِّلُ مِنَ السَّمَاءِ مِنْ جِبَالٍ فِيهَا مِنْ بَرَدٍ فَيُصِيبُ بِهِ مَنْ يَشَاءُ وَيَصْرِفُهُ عَنْ مَنْ يَشَاءُ يَكَادُ سَنَا بَرْقِهِ يَذْهَبُ بِالْأَبْصَارِ (43) النور

Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya. Dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya; lalu Ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendakiNya. Sinaran kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan”

 

اللَّهُ الَّذِي يُرْسِلُ الرِّيَاحَ فَتُثِيرُ سَحَابًا فَيَبْسُطُهُ فِي السَّمَاءِ كَيْفَ يَشَاءُ وَيَجْعَلُهُ كِسَفًا فَتَرَى الْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلَالِهِ فَإِذَا أَصَابَ بِهِ مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ إِذَا هُمْ يَسْتَبْشِرُونَ (48) – الروم

Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendakiNya, dan menjadikannya berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari celah-celahnya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambanya, mereka serta merta bergembira;

 

Dengan itu, jika dikatakan bahawa hujan turun dari awan pun, ia tidak bercanggah dengan ayat ini yang mengkaitkan hujan dengan السماء, kerana perkataan tersebut lebih menjurus kepada makna DI ATAS, bukan semestinya merujuk kepada langit. Penggunaan sebegini, turut sama berlaku dalam ayat-ayat lain seperti firman Allah;

 

وَمِنْ آيَاتِهِ يُرِيكُمُ الْبَرْقَ خَوْفًا وَطَمَعًا وَيُنَزِّلُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَيُحْيِي بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ (24) – الروم

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Ia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya

 

يَجْعَلُونَ أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ مِنَ الصَّوَاعِقِ

 

“mereka menjadikan jari-jari mereka dalam telinga-telinga mereka dengan sebab sambaran petir”

 

[28] Ada psikologi manusia itu, apabila dia takut sesuatu atau dia tidak suka, sejak awal lagi dia tidak mahu mendengar perkara tersebut. Seperti, ada orang tidak suka kalau dia tahu bahawa dia sakit, maka dia tidak mahu pergi ke hospital sejak dari awal lagi.

 

Demikian juga orang munafiq; mereka tahu kebenaran itu baik, tetapi sebab ada ancaman azab dan kemurkaan dari Allah, maka sejak dari awal lagi mereka tidak mahu mendengar sebarang ayat-ayat berkaitan dengan azab.

 

[29] SHIHAB kata, guruh dan kilat itu diumpamakan kritik dan kecaman dalam rangka menyembuhkan penyakit jiwa manusia, tetapi orang munafiq pula, mereka tidak mahu dengar kecaman tersebut yang dengan itu, mereka tutup telinga mereka[20].

 

[30] kata Hamka, memandangkan mereka tidak mahu kepada ancaman dan peringatan azab dan kemurkaan ilahi dalam menjelaskan hidayah, maka mereka tutup telinga mereka dengan jari-jari mereka[21]

 

[31] Dalam ayat, disebutkan bahawa mereka memasukkan jari-jari mereka ke dalam telinga yang digunakan perkataan أصابع, sedangkan yang mereka sumbat dalam telinga mereka hanya hujung anak jari (أنملة) mereka sahaja.

 

Shihab kata, itu menggambarkan bahawa betapa mereka enggan mendengar dan betara keras usaha mereka menutup pendengaran mereka, sampai mereka menggunakan seluruh jari-jari kerana berharap tidak ada celah suara pun boleh masuk ke dalam lubang telinga mereka[22].

 

Dalam kupasan AL-RAZI, walaupun disebutkan jari (الاصابع) tetapi yang dikehendaki adalah sebahagian jari sahaja (الأنملة). ABU ZAHRAH kata, Hal ini berdasarkan kaedah:

المجاز المرسل بإطلاق اسم الكل وارادة الجزء

“Majaz Mursal dengan menyebut nama seluruh, tetapi dikehendai adalah juzuk sahaja[23]

 

Ia sama seperti firman Allah;

فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُما [الْمَائِدَةِ: 38]

Potonglah tangan kedua-dua mereka (pencuri lelaki dan perempuan)

 

Yang dipotong tangan pencuri itu bukan sampai ke bahu, tetapi sekadar pergelangan tangan sahaja[24].

 

[32] al-Qurtubi menyatakan, Munafiq – Yahudi ini menutup telinga mereka agar mereka tidak mendengar ayat-ayat al-Quran. kerana, jika mereka mendengar, ia boleh menyebabkan mereka beriman dengan al-Quran dan Muhammad. Pada mereka, ikut al-Quran dan Muhammad adalah kekufuran, sedangkan kufur itu adalah kematian[25].

 

[33] Perkataan الصواعق berasal dari kata الصاعقة yang diterjemah dengan HALILINTAR. Dalam penjelasan ABU ZAHRAH, ia bermaksud apa-apa yang turun dari langit dari jenis api, seperti guruh dan kilat[26]. Dalam penjelasan ABU ZAID pula, ia adalah api yang datang dari langit ketika berlaku guruh yang kuat[27].

 

Penggunaan kata ini ada disebut dalam ayat-ayat lain sepertimana berikut;

 

وَإِذْ قُلْتُمْ يَا مُوسَى لَنْ نُؤْمِنَ لَكَ حَتَّى نَرَى اللَّهَ جَهْرَةً فَأَخَذَتْكُمُ الصَّاعِقَةُ وَأَنْتُمْ تَنْظُرُونَ (55) – البقرة

Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)". Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya

 

فَإِنْ أَعْرَضُوا فَقُلْ أَنْذَرْتُكُمْ صَاعِقَةً مِثْلَ صَاعِقَةِ عَادٍ وَثَمُودَ (13) – فصلت

Oleh itu, kalau mereka (yang musyrik) berpaling (daripada mengesakan Allah dan menurut jalan yang lurus), maka katakanlah (wahai Muhammad): "Aku memberi amaran kepada kamu dengan (azab yang dahsyat, iaitu) petir, seperti petir yang telah menyambar kaum Aad dan kaum Thamud!"

 

وَأَمَّا ثَمُودُ فَهَدَيْنَاهُمْ فَاسْتَحَبُّوا الْعَمَى عَلَى الْهُدَى فَأَخَذَتْهُمْ صَاعِقَةُ الْعَذَابِ الْهُونِ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ (17) – فصلت

Adapun kaum Thamud, maka Kami beri petunjuk kepadanya, lalu mereka mengutamakan kesesatan dari hidayah petunjuk; mereka pun disambar oleh petir azab yang menghina dengan sebab apa yang mereka telah lakukan

 

[34] dalam kupasan IBN AL-JAWZI pula, maksud ayat ini terdapat tafsiran ulama seperti berikut;

a.                  Mereka lari dari mendengar al-Quran agar dapat terhindar dari jihad kerana takut dengan kematian. Ini tafsiran AL-HASAN dan AL-SUDDIY[28].

b.                  Mereka berpaling dari al-Quran kerana benci terhadap kitab suci tersebut. Ini tafsiran AL-MUQATIL[29].

 

[35] Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa guruh dan petir adalah lambang kemurkaan Allah. Dalam hadis—daripada Abdullah bin Umar bahawa Nabi saw apabila mendengar suara guruh dan petir, Baginda akan berdoa:

عَنْ سَالِمِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ، عَنْ أَبِيهِ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا سَمِعَ صَوْتَ الرَّعْدِ وَالصَّوَاعِقِ، قَالَ: «اللَّهُمَّ لَا تَقْتُلْنَا بِغَضَبِكَ، وَلَا تُهْلِكْنَا بِعَذَابِكَ، وَعَافِنَا قَبْلَ ذَلِكَ» - الترمذي 3450

Ya Allah, jangan Kamu bunuh kami dengan kemurkaanMu, dan jangan Kamu binasakan kami dengan azabmu. Maafkan kami sebelum itu (sebelum guruh dan petir ini)”

 

Walaubagaimana pun, sanad hadis ini doif.

 

حَذَرَ الْمَوْتِ

 

“kerana berhati-hati dengan kematian”

 

[36] dikaitkan dengan “takut mati” kerana ancaman azab dan kemurkaan itu tidak akan didapati semasa hidup. Ia akan berlaku kepada orang yang sudah mati.

 

[37] Apabila mereka mendengar ancaman azab dan kemurkaan Allah, akan lahir perasaan takut mati dalam hati mereka. namun, mereka tidak mahu ada perasaan takut mati itu. menurut Hamka, mereka rasa selesa dengan kehidupan sedia ada; mereka tidak mahu bercerai dan tidak mahu berpisah dengan kehidupan lama mereka[30].

 

وَاللَّهُ مُحِيطٌ بِالْكَافِرِينَ (19)

 

“Allah itu sudah kepung terhadap para kafir”

 

[38] Walaupun mereka berhati-hati dengan kematian, tetapi mereka tidak dapat lari dari kebimbangan tersebut, kerana Allah itu meliputi segala orang-orang kafir.

 

[39] Allah adalah pengepung terhadap orang kafir, iaitu tidak ada ruang lagi untuk mereka lari dari peringatan dan ancaman azab tersebut.

 

[40] Dalam ayat ini, digunakan perkataan الكافرين yang menggunakan kata nama. Di sini jelas bahawa;

a.                  Dalam konteks ayat, ia merujuk kepada munafiq dari kalangan Yahudi yang tidak beriman.

b.                  Ini membuktikan orang munafiq itu, kalaupun mereka kelihatan muslim, tetapi hakikat kehidupan mereka adalah kafir.

 

[41] Menurut SHIHAB, maksud tersirat disebalik kata “Allah meliputi orang kafir” adalah Allah berkuasa dan tahu terhadap orang-orang kafir tersebut, sehingga mereka tidak dapat menghindar kerana telah terkepung dari segala penjuru[31].

 

ABU ZAHRAH kata, perkataan الاحاطة mempunyai makna sultan, menguasai dan kekuatan. Apabila disebut احاط به السلطان ia mengandungi maksud Sultan menguasai dan tidak ada siapa pun dapat mengalahkannya.

 

Dari sudut pemaknaan ini, konteks ayat bermaksud bahawa ia adalah majaz yang dimaksudkan adalah tidak ada sesiapa pun dapat meluputiNya.

 

Ada kala lain, perkataan الإحاطة memberi makna الهلاك – kebinasaan, sepertimana firman Allah;

 

قَالَ لَنْ أُرْسِلَهُ مَعَكُمْ حَتَّى تُؤْتُونِ مَوْثِقًا مِنَ اللَّهِ لَتَأْتُنَّنِي بِهِ إِلَّا أَنْ يُحَاطَ بِكُمْ فَلَمَّا آتَوْهُ مَوْثِقَهُمْ قَالَ اللَّهُ عَلَى مَا نَقُولُ وَكِيلٌ (66)- يوسف

Bapa mereka berkata:" Aku tidak sekali-kali akan melepaskan dia (Bunyamin) pergi bersama-sama kamu, sehingga kamu memberi kepadaku satu perjanjian yang teguh (bersumpah) dengan nama Allah, bahawa kamu akan membawanya kembali kepadaku dengan selamat, kecuali jika kamu semua dikepong dan dikalahkan oleh musuh". Maka ketika mereka memberikan perjanjian yang teguh (bersumpah) kepadanya, berkatalah ia: "Allah jualah yang menjadi Saksi dan Pengawas atas apa yang kita semua katakan itu."

 

Dari sudut pemaknaan ini, konteks ayat memberi maksud orang kafir itu sentiasa berada dalam genggaman Allah. Iaitu, bila-bila masa sahaja Allah boleh binasakan mereka[32]. Makanya, mereka berhati-hati dari mati macam mana pun, semua itu tidak memberi sebarang kesan, kerana segala penentuan itu dalam genggaman Allah.

 

Dalam penjelasan AL-RAZI pula, ia merangkumi hal berikut[33];

a.                  Allah tahu berkenaan mereka. Firman Allah;

وَأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحاطَ بِكُلِّ شَيْءٍ عِلْماً [الطَّلَاقِ: 12]

 sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu

 

b.                  Allah berkuasa dan menguasai mereka. Firman Allah;

وَاللَّهُ مِنْ وَرائِهِمْ مُحِيطٌ [الْبُرُوجِ: 20]

Sedang Allah, dari belakang mereka, melingkungi mereka (dengan kekuasaanNya)

 

c.                   Allah boleh membinasakan mereka. Firman Allah;

إِلَّا أَنْ يُحاطَ بِكُمْ [يُوسُفَ: 66]

kecuali jika kamu semua dikepong dan dikalahkan oleh musuh".

 

[42] Allah menyebut perkataan الكافرين dalam ayat ini, kerana ayat ini membenarkan terhadap kandungan awal ayat berkenaan orang munafiq;

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الْآخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ (8) - البقرة

 



[1] shihab:1/115

[2] Shihab:1/117

[3] Zahrah:146

[4] Shihab:1/117

[5] Kasyaf:1/79 | Kasyaf:1/79

[6] hamka:1/147

[7] hamka:1/147

[8] shihab:1/115

[9] Zad:1/42

[10] Usaimin:1/66

[11] Razi:2/316

[12] usaimin:1/67

[13] Qurtubi:1/216 | Zahrah:147

[14] razi:2/317

[15] Asyur:1/317

[16] razi:2/317

[17] Kasyaf:1/82

[18] razi:2/317

[19] Usaimin:1/66

[20] shihab:1/139

[21] hamka:1/147

[22] Shihab:1/116

[23] Zahrah:149

[24] razi:2/317

[25] Qurtubi:1/218

[26] Zahrah:150

[27] Qurtubi:2/219 | Kathir:1/190

[28] Zad:1/42

[29] Zad:1/42

[30] hamka:1/148

[31] Shihab:1/116

[32] Zahrah:150

[33] Razi:2/318

(2) SURAH AL-BAQARAH 22

  BAQARAH 2:22   الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْ...