Friday, August 4, 2023

(2) SURAH AL-BAQARAH 18

 

AL-BAQARAH 2:18

 

صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لَا يَرْجِعُونَ (18)

Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 17

AYAT 18

 

Allah menjauhkan cahaya hidayah dari orang munafiq dan mereka berada dalam kegelapan.

 

 

Gelap mereka itu bukan tidak ada cahaya, tetapi kerana Pekak, bisu dan bisu.

 

 

[1] Allah bukan sekadar jauhkan cahaya hidayah dari mereka dan meninggalkan mereka berada dalam kegelapan, bahkan pancaindera mereka juga sudah tidak berfungsi lagi, sedangkan Allah telah menciptakan pancaindera untuk manusia dapat mencerap ilmu. Firman Allah[1];

 

والله أَخْرَجَكُم مِّن بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لاَ تَعْلَمُونَ شَيْئاً وَجَعَلَ لَكُمُ السمع والأبصار والأفئدة لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ [النحل: 78]

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.

 

Oleh itu, maksud dengan لا يبصرون dalam ayat ke-17 adalah, fungsi pancaindera mereka sudah mati dan tidak berfungsi lagi[2].

 

[2] Kaedah dalam kehidupan: manusia diberikan alat untuk dimanfaatkan. Justeru, ada alat namanya teliga, maka manfaatkannya adalah mendengar; alatnya adalah mata, manfaatkannya adalah melihat; ada alat namanya hati, maka manfaatkannya adalah berjiwa dalam membuat keputusan. Hal ini seragam dengan firman Allah;

 

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا (36)  - الإسراء

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya

 

Dalam pada alat-alat ini, ia dimanfaatkan kepada dua;

a.             Manfaat yang baik

b.            Manfaat yang buruk

 

Ia sama seperti orang yang belajar sehingga menguasai ilmu al-Quran dan hadis. Ada ilmu itu, dimanfaatkan oleh orang yang berilmu kepada manfaat yang baik seperti dia mengajar, dia amalkan sehingga membentuk dirinya yang baik.

 

Ada pula, ilmu itu dimanfaatkan kepada perkara yang buruk, seperti  memanipulasi kebenaran dengan membaca al-Quran dan hadis bukan pada tempatnya; diadaptasi pada tempat yang salah. Bak kata Saidina Ali;

 

قَالَ عَلِيٌّ: كَلِمَةُ حَقٍّ أُرِيدَ بِهَا بَاطِلٌ – مسلم 1066

“kalimah yang benar, namun kebatilan yang dikehendaki dengannya”

 

Dalam memanfaatkan perkara yang baik dan buruk ini, diklasifikasikan kepada berikut;

a.                  Manfaat dunia dan akhirat.

b.                  Manfaat dunia sahaja

c.                   Manfaat akhirat sahaja

d.                  Tidak dimanfaatkan untuk dunia dan akhirat.

 

Dari sudut logiknya, agak mustahil untuk berjumpa manusia yang tidak manfaatkan telinga, mata dan hati mereka untuk dunia dan akhirat.

 

Bagi orang munafiq, mereka memanfaatkan telinga, mata dan hati mereka untuk dunia sahaja, iaitu tanpa dimanfaatkan untuk akhirat.

 

Hal ini berbeza bagi orang yang beriman bahawa mereka memanfaatkan telinga, mata dan hati mereka untuk dunia dan akhirat.

 

Bagi orang yang manfaatkan untuk akhirat sahaja, walaupun nampak bagus, tetapi ia bercanggah dengan aturan al-Quran yang mengajar;

 

وَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (201) أُولَئِكَ لَهُمْ نَصِيبٌ مِمَّا كَسَبُوا وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ (202) – البقرة

Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka". * Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya.

 

[3] Memandangkan orang munafiq manfaatkan alat (telinga, mata dan hati) pada keburukan, maka al-Quran gambarkan mereka ditimpa tiga penyakit dalam menanggapi kebenaran dan kebaikan, iaitu;

A.                  Pekak

B.                  Bisu

C.                  Buta.

 

[4] tiga penyakit ini bukan bermakna tidak ada cahaya. Tetapi, kebenaran dan kebaikan itu tidak dapat dilihat kerana KEBUTAAN pada telinga disebut sebagai pekak; KEBUTAAN pada mulut yang disebut sebagai BISU; KEBUTAAN dari sudut mata yang disebut sebagai buat.

 

[5] Mereka sudah mengenali cahaya, tetapi cahaya itu dijual mereka demi mendapat kesesatan, makanya mereka pasti tidak akan kembali kepada cahaya balik.

 

صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ

 

“Pekak, bisu dan buta”

 

[6] Susunan kata dalam ayat ini disebut sebagai TASYBIH BALIGH, iaitu menyebut perumpamaan tanpa menyebut ADAT TASYBIH dan WAJAH SYABH.

 

Dalam ilmu sastera arab, TASYBIH itu perlu ada empat syarah:

(1)               Musyabbah

(2)               Musyabbah bih

(3)               Adat al-Syabh

(4)               Wajh al-Syabh

 

Contoh TASYBIH:

“Telah datang Muhammad seperti Harimau dari sudut garangnya.

 

Jika dilihat dari sasteranya:

(1)               Musyabbah: Muhammad

(2)                Musyabbah bih: Harimah

(3)               Adat al-Syabh: seperti

(4)               Wajh al-Syabh: garang

 

Disasterakan lagi dengan ditiadakan Musyabbah dan Adat al-Syabh. Contohnya;

“telah datang harimau dari sudut garangnya”

 

Disasterakan lagi dengan dihilangkan MUSYABBAH, ADAT AL-SYAB dan WAJAH SYABH:

“Telah datang harimau”

 

Justeru, dari sudut susun kata ayat, patut disebut: “hati orang munafiq itu seperti orang pekak dari sudut tidak dapat menerima petunjuk”

 

Justeru, disasterakan ayat itu, maka disebut: “Pekak” yang WAJH SYABH adalah: dari sudut kegelapan dari nampak hidayah.

  

HIKMAH SUSUNAN KATA 1

[7] Dimulakan dengan pekak, walhal dalam ayat sebelum ini menyebut “mereka tidak dapat melihat”, kerana dalam ayat tersebut menggunakan perkataan يبصرون – akar kata بصر, iaitu buta hati. kalau ikut logiknya, perlu disebut BUTA, bukan PEKAK.

 

JAWAPAN;

Perkataan BUTA HATI tidak semata-mata merujuk kepada mata hati sahaja. Buta hati ini, termasuk juga hati yang pekak dan hati yang bisu.

 

Ini bermaksud, pancaindera orang munafiq yang fizik (telinga, mulut dan mata) berfungsi, tetapi pancaindera metafiziknya pula sudah rosak.

 

Justeru, maksud tiga perkara di atas adalah pekak, bisu dan buta dari sudut METAFIZIK, bukan dari sudut FIZIK.

 

Makanya, mereka ini;

A.                  Pekak : iaitu, kebenaran tidak akan masuk dalam hati mereka, walaupun diberikan seribu satu hujah yang benar.

B.                  Bisu : tidak akan mengakui kebenaran. Makanya, mereka tidak akan bagitahu kebenaran kepada manusia, walaupun mereka tahu.

C.                  Buta : Mereka benci kebenaran sehingga mereka nampak pun, ia buat seperti tidak nampak.

 

Qatadah berkata:

" صُمٌّ" عَنِ اسْتِمَاعِ الْحَقِّ،" بُكْمٌ" عَنِ التَّكَلُّمِ بِهِ،" عُمْيٌ" عَنِ الْإِبْصَارِ لَهُ

“pekak dari mendengar kebenaran, bisu dari bercakap berkenaan kebenaran dan buta dari hati melihat kebenaran”[3]

 

HIKMAH SUSUNAN KATA 2

[8] Dalam ayat ke-179, Surah al-‘Araf bahawa dinyatakan berkenaan ahli neraka itu bahawa mereka itu mempunyai alat yang tidak dimanfaatkan. Firman Allah;

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ (179) – الأعراف

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

 

Dalam ayat ini, disusun alat tersebut adalah seperti berikut;

(1)               Hati yang tidak dapat memahami.

(2)               Mata yang tidak dapat melihat.

(3)               Telinga yang tidak dapat mendengar.

 

Dalam ayat ke-18 ini pula, cara susunannya adalah seperti berikut;

(1)               Telinga yang tidak mendengar.

(2)               Bisu yang tidak dapat bercakap.

(3)               Mata yang tidak dapat melihat.

 

PERSOALANNYA:

Dalam ayat ke-179 Surah al-A’raf, dijelaskan KONSEP UMUM bagi penutupan jiwa dari menerima kebenaran. Ekoran itu, dimulakan dengan menyebut HATI, kerana ia punca segala keputusan; apabila sudah ada prejudis, maka mata melihat kebenaran macam mana pun; telinga dengar kebenaran macam mana pun, pasti tidak akan dapat diterima lagi.

 

Namun, pada ayat ke-18 ini pula, disebutkan dalam KONTEKS ORANG KHUSUS, iaitu dalam konteks orang munafiq dalam penceritaan ayat ini, iaitu: setelah Allah menyebut kewujudan orang munafiq pada ayat ke-8, dan pada ayat ke-9 dijelaskan berkenaan perangai mereka yang suka melakukan tipu daya serta pada ayat ke-10, dijelaskan punca mereka menipu itu adalah disebabkan hati mereka berpenyakit, maka dalam menjelaskan bentuk-bentuk tipu daya itu;

A.                  Dijelaskan bahawa kejahatan telinga mereka, iaitu mereka PEKAK dari dengar teguran dan nasihat. Hal ini disebut dalam ayat ke-11, 12 dan 13.

B.                  Dijelaskan bahawa kejahatan mulut mereka, iaitu mereka BISU dari bercakap kebenaran dan kebaikan, bahkan menganjing sahaja orang mukmin. Hal ini disebut dalam ayat ke-14 dan 15.

C.                  Dijelaskan bahawa kejahatan mata mereka, iaitu mereka BUTA HATI dalam menilai kebenaran sehingga mereka sanggup jual kebenaran demi mendapat kesesatan.

 

MAKSUD PEKAK, BISU DAN BUTA

[9] Menurut IBN AL-JAWZI, mereka bukan pekak, bisu dan buta secara hakikat. Telinga mereka mendengar, tetapi ucapan kebenaran tidak masuk ke dalam hati mereka; mulut mereka bercakap, tetapi tidak ada kehendak untuk bercakap perkara sebenar; mata mereka nampak melihat, tetapi cuba menipu diri sendiri—seakan -akan seperti tidak nampak[4].

 

[10] Kalau USAIMIN, maksud pekak, bisu dan buta itu adalah dari sudut maknawi. Hal ini kerana, mereka dengar dan faham al-Quran, tetapi kandungan al-Quran yang mereka faham itu, mereka manfaatkan kepada perkara yang memberi kesan buruk pada diri mereka. Makanya, jadi mereka seperti orang pekak sepertimana firman Allah[5];

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ قَالُوا سَمِعْنَا وَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ (21) – الأنفال

“Jangan kamu jadi seperti mereka yang berkata: kami dengar” walhal mereka tidak mendengar”

 

PEKAK

[11] Orang yang pekak dari kebenaran, dia boleh dengar perbahasan ilmu secara intelektual dan segala hujah yang merupakan bukti terhadap kebenaran. Namun, apabila HATINYA PEKAK, maka kebenaran itu TIDAK DAPAT DITERIMA.

 

[12] Dalam perkataan arab, pekak disebut dengan صم. Ia adalah kata JAMAK dari perkataan اصم.[6]

 

Dari sudut bahasa arab, ia bermakna الإنسداد iaitu tertutup[7]. Justeru, maksud pekak adalah tutup pendengaran. Ia lebih teruk dari الطرش (pekak badak)[8].

 

Dari sudut kupasan lain, ia bermaksud HILANG RASA MENDENGAR berkenaan sesuatu yang dia sedang mendengar[9].

 

[13] Menurut QATADAH, orang munafiq itu pekak dari mendengar KEBENARAN[10]. Dalam pendapat IBN KATHIR pula, mereka pekak dari mendengar KEBAIKAN[11].

 

Pada pendapat saya, orang munafiq ini PEKAK pada kedua-duanya sekali dengan alasan berikut;

A.                  Tidak terima kebenaran, sepertimana yang diceritakan ayat-ayat sebelum ini.

B.                  Tidak terima kebaikan, kerana mereka tidak dapat terima kebaikan yang dilakukan oleh orang Islam. hal ini kerana, mereka sudah ada prejudis kepada Muslim. Justeru, sebarang perkara baik yang diperkatakan oleh muslim, mereka tetap anggap ia sebagai buruk.

 

BISU

[14] Perkataan BISU dalam ayat digunakan lafaz بكم. Ia adalah kata JAMAK DARI ابكم. Dari sudut bahasa, ia bermaksud tidak tercakap terhadap orang yang perlu dia bagitahu sesuatu[12]. Dari sudut lain, ia bermaksud “yang tidak boleh bercakap dan tidak memahami”. Jika memahami, ia itu adalah الأخرس.[13] Ekoran itu, orang yang tahu kebenaran tetapi tidak bercakap terhadap kebenaran itu disebut sebagai SYAITAN AL-AKHRAS. ABU ALI AL-DAQQAQ AL-NAISABURI (146H) ada berkata:

من سكت عن الحق فهو شيطان أخرس

“sesiapa yang diam dari kebenaran, maka dia adalah syaitan akhras[14]

 

[15] Maksud bisu dalam konteks ayat Ia ada beberapa tafsiran berikut;

a.Lidahnya kelu dari bercakap Disebut dengan خرس[15]. Iaitu, apa yang mereka cakap tidak sama dengan apa yang ada fikiran mereka. ini pendapat MUQATIL, ABU UBAID dan IBN FARIS.[16]

b.                  lidahnya ada kecacatan sehingga tidak mampu bercakap[17].

c.                   Hatinya cacat sehingga tertegah dari dia memahami. Justeru, berbeza dengan apa yang dia dia ucapkan dengan apa yang dia faham[18].

d.                  IBN KATHIR kata, mereka tidak akan bercakap dalam perkara yang tidak memberi manfaat kepada mereka[19].

e.                  USAIMIN kata, lidahnya tidak akan bercakap hal kebenaran[20].

 

BUTA

[16] perkataan عمي adalah kata jamak dari perkataan اعمي.[21] Dari sudut bahasa, ia bermaksud ketiadaan nampak terhadap orang yang sepatutnya dia kena nampak[22]. Apabila segala dalil tidak memberi manfaat untuk mereka nampak kebenaran, maka mereka sama tahap dengan orang buta[23]. Justeru, mereka kekal berada dalam kesesatan dan kebutaan Basirah (buta mata hati). penjelasan ini terdapat dalam ayat 46, Surah al-Haj;[24]

{فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الأبْصَارُ وَلَكِنْ تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ} [الْحَجِّ: 46]

 bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada

 

Sudah pasti mereka buta hati dari nampak kebenaran, kerana mereka sanggup menjual kebenaran yang berada di tangan mereka, semata-mata mahu mendapatkan kesesatan (ayat 16)

 

[17] Dalam memaksudkan buta juga adalah mereka tidak menggunakan akal mereka dalam menilai kebenaran. Demikian menurut tafsiran ABU AL-‘ALIYAH dan QATADAH BIN DI’AMAH[25].

 

PENGAJARAN

[18] Sifat orang munafiq yang dijelaskan dalam ayat ini adalah sejak awal lagi tidak mahu mendengar. Jika mendengar pun, tetapi tidak masuk dalam hati mereka.

 

Hal ini berbeza dengan sifat orang mungkin, iaitu perlu mendengar terlebih dahulu. Selepas mendengar, bukan terus ditolak atau diterima, tetapi menganalisa. Dalam analisa didapati ia lebih baik, maka ikut yang lebih baik tersebut. Firman Allah;

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ (18) – الزمر

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.

 

فَهُمْ لَا يَرْجِعُونَ (18)

 

“Dan mereka tidak akan kembali (kepada kebenaran dan kebaikan)”

 

[19] Apabila HATI MATI, kebenaran tidak akan diterima. Implikasi dari tidak terima kebenaran adalah TIDAK AKAN BERTAUBAT, TIDAK AKAN KEMBALI KEPADA KEBENARAN.

 

[20] kenapa digunakan “kembali”, sedangkan mereka sejak awal lagi tidak beriman?

 

Ini dalil bahawa asal manusia itu adalah bertauhid, fitrah—daripada Abu Hurairah bahawa Nabi saw bersabda;

مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ، أَوْ يُمَجِّسَانِهِ – البخاري, 1358

“tidaklah dari bayi yang baru dilahirkan kecuali ia dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani dan majusi”

 

Atau tidak salah jika dianalogikan bahawa kelompok munafiq seperti sudah diberikan cahaya sepertimana kenderaan yang dipandu di jalan yang elok serta kenderaan tersebut ada lampu yang sedang. Namun, lampu sahaja tidak memadai kalau tidur atau buta. Justeru, jalan yang elok pun tidak menghalang mereka dari eksiden dan jatuh dalam jurang. Implikasi eksiden begitu teruk sehingga mereka tidak dapat kembali ke jalan yang elok balik.

 

[21] Dalam ayat ke-11: disuruh mereka agar berhenti dari melakukan mafsadah. Namun, mereka kata, mereka adalah kelompok yang melakukan Islah.

 

Apabila mereka percaya bahawa mereka berada dalam Islah, bermakna mereka percaya ajaran muhammad adalah kerosakan. Apabila mere anggap ajaran Muhammad sebagai ajaran kerosakan, mana mungkin mereka tidak akan datang (KEMBALI) kepada ajaran Muhammad[26].

 

[22] Maksud TIDAK KEMBALI;

a.             Tidak akan kembali dari kesesatan; iaitu, dia tidak akan tinggalkan kesesatan. Ini pendapat MUQATIL dan QATADAH[27].

b.            Tidak akan kembali kepada Islam. Ini pendapat AL-SUDDIY[28].

c.             Dalam kupasan AL-RAZI bahawa  mereka tidak akan mahu mencari hidayah[29]. Ini adalah tafsiran yang dibawa oleh IBN ABBAS dan AL-RABI’ BIN ANAS[30].

d.            Mereka kekal dalam sifat Nifaq. Ini tafsiran FAKHR AL-DIN AL-RAZI[31].

e.             Mereka berada dalam kekeliruan; tidak tahu, dari mana mereka harus bermula[32].

f.                SYAKRAWI kata, setelah mereka Allah jauhkan cahaya dari mereka dan mereka berada dalam kegelapan, maka mereka pun tidak dapat mencerap hidayah lagi. Dengan itu, mereka tidak ada sekelumit hasrat pun untuk mendapat cahaya iman[33].

g.            Mereka tidak bertaubat dan tidak ambil peringatan dan ingatan terhadap kejadian yang bakal berlaku di alam akhirat kelak.

 

 



[1] Syakrawi:1/175

[2] Syakrawi:1/175

[3] Qurtubi:1/215

[4] Zad:1/38

[5] Usaimin:1/64

[6] Asyur:1/314

[7] Qurtubi:1/214

[8] Zad:1/37

[9] Asyur:1/314

[10] Qurtubi:1/215

[11] Kathir:1/187

[12] Asyur:1/314

[13] Qurtubi:1/214

[14] Syarh al-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim:2/20

[15] Zad:1/37

[16] Zad:1/37

[17] Zad:1/37

[18] Zad:1/37

[19] Kathir:1/187

[20] Usaimin:1/166

[21] Asyur:1/314

[22] Asyur:1/314

[23] Razi:2/315

[24] Kathir:1/187

[25] Kathir:1/189

[26] Usaimin:1/66

[27] Zad:1/37

[28] Zad:1/37

[29] Razi:2/315

[30] Kathir:1/189

[31] Razi:2/315

[32] Razi:2/315

[33] Syakrawi;1/175.

No comments:

Post a Comment

(2) SURAH AL-BAQARAH 22

  BAQARAH 2:22   الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْ...