Monday, August 21, 2023

(2) SURAH AL-BAQARAH 20

 

BAQARAH 2:20

 

يَكَادُ الْبَرْقُ يَخْطَفُ أَبْصَارَهُمْ كُلَّمَا أَضَاءَ لَهُمْ مَشَوْا فِيهِ وَإِذَا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَذَهَبَ بِسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (20)

Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka; tiap-tiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan dalam cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkanNya pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 19

AYAT 20

 

Orang munafiq tidak mahu mendengar kebenaran.

 

 

Orang munafiq ambil manfaat dari cahaya kilat, tetapi bila hilang cahaya, mereka kembali kepada asal

 

 

[1] Dalam ayat 19, dijelaskan berkenaan GURUH dan KILAT. Setelah menyebut berkenaan GURUH, iaitu mereka tutup telinga. Maka dalam ayat ini, dijelaskan pula berkenaan KILAT, yang ada kaitan dengan penglihatan mereka yang berkait dengan mata mereka.

 

[2] Setelah dijelaskan bahawa MEREKA TIDAK MAHU MENDENGAR kebenaran, maka ayat ini menjelaskan pula berkenaan PENGLIHATAN MEREKA PULA; iaitu, bagaimana mereka ambil manfaat dari al-Quran, tetapi sekadar manfaat dunia sahaja.

 

Hidup manusia tidak boleh lepas dari soal manfaat. Ia terbahagi kepada dua;

a.                  Manfaat dunia

b.                  Manfaat akhirat.

 

Orang munafiq – Yahudi, mereka ambil manfaat dunia dari al-Quran dengan menampilkan diri mereka seperti selaras dengan islam, tetapi itu sekadar di hadapan orang-orang islam sahaja.

 

Namun, apabila mereka jauh dari pandang mata Nabi Muhammad dan orang islam, maka mereka kekal dengan pendirian mereka;

كُلَّمَا أَضَاءَ لَهُمْ مَشَوْا فِيهِ وَإِذَا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا

 

Perilaku mereka ini sudah dijelaskan dalam ayat sebelum ini, iaitu firman Allah;

وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آمَنُوا قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا إِلَى شَيَاطِينِهِمْ قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ (14) اللَّهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ وَيَمُدُّهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ (15) – البقرة

 

[3] Kebenaran al-Quran yang dipamerkan itu benar-benar di hadapan mata mereka yang sudah pasti mereka nampak;

يَكَادُ الْبَرْقُ يَخْطَفُ أَبْصَارَهُمْ

 

Namun, mereka tetap tidak menerima kebenaran yang mereka nampak tersebut. Namun, mereka hanya mengambil manfaat hanya pada perkara yang untungkan urusan dunia mereka sahaja;

لَّمَا أَضَاءَ لَهُمْ مَشَوْا فِيهِ

 

[4] Dalam ayat disebutkan bahawa ketika kilat memanah, maka ada cahaya. Dengan cahaya itu, mereka pun berjalan. Apabila cahaya kilat itu hilang, mereka berdiri kembali.

 

Sifat bagi cahaya kilat tidak seperti cahaya yang lain; iaitu ia hanya memancar satu detik sahaja. Dengan cahaya kadar satu detik itu, orang munafik tetap ambil manfaat untuk kepentingan dirinya, walaupun dengan kadar satu langkah sekalipun.

 

Namun, jika tidak ada ruang untuk mereka mendapat manfaat lagi, maka mereka akan kekal kembali kepada sikap mereka yang asal;

وَإِذَا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا

 

[5] Cara mereka ambil manfaat untung kepentingan mereka sahaja ini cukup biadap. Justeru, pendengaran dan penglihatan yang dianugerahkan oleh Allah mereka tidak syukuri. Jika Allah mahu ambil balik nikmat pendengaran dan penglihatan, boleh sahaja bagi Allah;

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَذَهَبَ بِسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ

 

Dalam ayat ini, digunakan perkataan شاء bukan اراد yang makna شاء adalah berkehendak dalam maksud terkandung maksud memilih. Bermaksud, jika Allah MAHU MEMILIH untuk hilangkan pendengaran dan penglihatan mereka, itu boleh sahaja. Namun, Allah tidak pilih begitu kerana mahu masih lagi memberi ruangan kepada mereka untuk mendapat lagi hidayah dari al-Quran.

 

[6] Dalam ayat sebelum, disebutkan bahawa guruh dan kilat. Dalam ayat ini disebutkan hilangkan pendengaran dan penglihatan; bermaksud, kalau dengan guruh, boleh sahaja Allah hilangkan pendengaran mereka; kalau dengan kilat, boleh sahaja Allah hilangkan penglihatan mereka.

 

[7] manusia perlu sedar, Allah MAHU MEMILIH untuk menghilangkan pendengaran dan penglihatan mereka atau tidak, itu semua tidak menjadi susah bagi Allah, kerana Allah itu adalah TUHAN YANG BERKUASA PADA SEGALA PERKARA;

إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

 

[8] Setelah Allah menyebut KES, maka Allah pun sebut KAEDAH UMUM, iaitu dia berkuasa pada semua perkara yang tidak ada sesiapa pun dapat mencabar kekuasaanNya.

 

[9] kalau difikir balik, pada ayat sebelum ini, dinyatakan bahawa orang munafiq – yahudi ini pekak, bisu dan buta;

صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ

 

Namun, dalam ayat ini pula, Allah tidak pula menjadikan mereka itu pekak dan buta. Bukankah ini sudah bercanggah?

 

Dijawab:

Perlu dibezakan antara dua perkara;

a.      Dari sudut fizik, iaitu dengar melalui telinga dan melihat melalui mata.

b.      Dari sudut metafizik, iaitu dengar dan melihat dengan hati.

 

Dalam ayat sebelum 18, dijelaskan berkenaan METAFIZI, iaitu merujuk kepada maksud HATI, sedangkan dalam ayat ke-20 pula, dijelaskan berkenaan fizik, iaitu saluran ilmu untuk mereka mendengar dan melihat masih tidak ditutup lagi.

 

يَكَادُ الْبَرْقُ يَخْطَفُ أَبْصَارَهُمْ

 

“hampir-hampir (nyarislah) kilat menyambar penglihatan mereka”

 

[10] perkataan يكاد bermaksud يقارب yang terjemah dengan “hampir-hampir”. IBN AL-JAWZI kata, maksudnya adalah;

وهي كلمة إذا أثبتت انتفى الفعل، وإذا نفيت ثبت الفعل

“Kalimah yang apabila sabit maka ternafi perbuatan. Apabila ternafi, maka sabit perbuatan tersebut[1]

 

Atau;

يشهد للنفي عند الإثبات

Penafian ketika isbat sesuatu perbuatan[2]

 

[11] Perkataan يخطف bermaksud mengambil dengan cepat[3]. Basmeh terjemahkan dengan “menyambar (menghilangkan)”.

 

[12] Dalam qiraat Mujahid, dibaca dengan kasrah; يخطف (Yakhtifu), tetapi bacaan al-Hasan yang dianggap yang paling fasih oleh AL-RAZI adalah fathah (Yakhtafu). Dalam bacaan IBN MAS’UD pula, dengan يختطف (Yakhtatipu)[4].

 

كُلَّمَا أَضَاءَ لَهُمْ مَشَوْا فِيهِ

 

“ketika kilat itu memancarkan untuk mereka, mereka pun berjalan dalam cahaya tersebut”

 

[13] iaitu, mereka ambil manfaat dari cahaya islam, iaitu dengan mereka menggambarkan diri mereka sebagai islam, maka harta dan darah mereka terselamat. Bahkan, mereka dapat harta ghanimah. Itu yang mereka harap dari Islam[5].

 

[14] IBN AL-JAWZI menyatakan, maksud disebalik ayat ini ada beberapa tafsiran ulama seperti berikut;

a.       IBN ABBAS dan AL-SUDDIY kata, ketika al-Quran sampai kepada mereka pada perkara yang mereka suka sahaja mereka ikut.

b.      QATADAH kata, mereka ambil manfaat dari sudut keselamatan pada harta dan nyawa mereka[6].

 

وَإِذَا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا

 

“apabila menjadi gelap terhadap mereka, mereka pun berhenti berjalan”

 

[15] Apabila mereka tidak dapati sebarang manfaat, maka mereka kembali kepada asal mereka; iaitu benci keimanan[7].

 

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَذَهَبَ بِسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ

 

“kalau Allah MAHU PILIH, pasti Allah akan jauhkan pendengaran dan penglihatan mereka (al-Quran)”

 

[16] Dalam ayat ini, KEHENDAK ALLAH itu digunakan perkataan شاء, sedangkan ada perkataan lain disebut اراد. Secara dasarnya, شاء lebih umum dari اراد yang perbezaan antara kedua-duanya adalah;

a.      Kalau guna شاء, ia merujuk kepada kehendak yang TIDAK ADA TAHDID, iaitu masih lagi terbuka kepada pilihan, sama ada mahu dibuat atau tidak dibuat.

 

لَوْ أَرَادَ اللَّهُ أَنْ يَتَّخِذَ وَلَدًا لَاصْطَفَى مِمَّا يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ سُبْحَانَهُ هُوَ اللَّهُ الْوَاحِدُ الْقَهَّارُ (4) – الزمر

Kalaulah Allah hendak mempunyai anak, tentulah Ia memilih mana-mana yang dikehendakiNya dari makhluk-makhluk yang diciptakanNya; Maha Sucilah Ia (dari menghendaki yang demikian). Dia lah Allah, Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaanNya segala-galanya

 

Atau;

إِنَّ هَذِهِ تَذْكِرَةٌ فَمَنْ شَاءَ اتَّخَذَ إِلَى رَبِّهِ سَبِيلًا (29) وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا (30) يُدْخِلُ مَنْ يَشَاءُ فِي رَحْمَتِهِ وَالظَّالِمِينَ أَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا (31) - الإنسان

Sesungguhnya (segala keterangan yang disebutkan) ini, menjadi peringatan; maka sesiapa yang mahukan (kebaikan dirinya) bolehlah ia mengambil jalan yang menyampaikan kepada keredaan Allah (dengan iman dan taat). * Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya). * Ia memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmatNya (dengan ditempatkannya di dalam Syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

Atau;

 

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ (56) - القصص

Sesungguhnya kamu tidak dapat memberi hidayah kepada orang yang kamu sayang, tetapi Allah memberi hidayah kepada siapa yang Dia mahu. Dia amat mengetahui terhadap orang yang dapat hidayah

 

b.      Kalau guna اراد, ia merujuk kepada kehendak yang ada TAHDID, iaitu tidak ada kaitan dengan pilihan. Contohnya;

 

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ (82)- يس

Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi

 

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ (185) - البقرة

Allah hendak kamu mudah dan Dia tidak hendak kamu susah”

 

[17] Dalam ayat ini, digunakan lafaz لَذَهَبَ بِسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ, iaitu متعدى lafaz ذهب dengan ب. Justeru, diterjemahkan dengan “membawa pergi” atau “menjauhkan dari”

 

Makanya, apabila ayat ini menggunakan perkataan شاء bukan اراد dan pada kata ذهب pula متعدى dengan ب, maka maksud ayat adalah atas KEHENDAK ALLAH,  boleh sahaja ALLAH MEMILIH untuk membawa pergi atau menjauhkan pendengaran mereka dari mendengar kebenaran, menjauhkan penglihatan mereka dari melihat kebenaran. Namun, Allah BERKEHENDAK MEMILIH agar mereka ada lagi pendengaran untuk mendengar kebenaran, dan penglihatan untuk mereka masih dapat melihat kebenaran, maka Allah tidak jauhkan semua itu dari mereka.

 

إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (20)

 

[18] Orang-orang munafiq perlu ambil ingat bahawa semua ini tidak pelik bagi Allah. Hal ini kerana, Allah itu maha berkuasa pada setiap perkara.

 

 

 



[1] Zad:1/41

[2] Zad:1/41

[3] Razi:2/318

[4] Razi:2/318

[5] razi:2/316

[6] Zad:1/42

[7] razi:2/316

No comments:

Post a Comment

(2) SURAH AL-BAQARAH 22

  BAQARAH 2:22   الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْ...