Friday, April 21, 2023

(1) SURAH AL-FATIHAH 2

 

SURAH FATIHAH 1:2

 

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (2)

Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 1

AYAT 2

 

Allah sebutkan namanya yang penyayang dan pemurah.

 

 

Dengan maha penyayang dan pemurahNya, Allah tadbir alam ini.

 

 

[1] Setelah Allah menyebut bahawa DIA maha pemurah dan maha penyayang, maka Allah buktikan bahawa pemurah dan penyayang itu adalah dengan alam ini ditadbir oleh beliau.

 

[2] Allah mulakan dengan pujian, kerana dengan dia mentadbir alam ini, makhluk dapat manfaat. Maka layaklah Allah itu dipuji dengan jasa-jasaNya kepada makhluk.

 

[3] Pujian itu sudah pasti bersebab; iaitu, apabila alam yang dimanfaatkan oleh makhluk ini ditadbir oleh Allah.

 

الْحَمْدُ لِلَّهِ

 

[4] Ini adalah ungkapan pujian. Apabila Allah mempunyai sifat kesempurnaan, maka memang layak bagi Allah untuk mendapat pujian.

 

Kata al-Sya’rawi, Allah terpuji pada semua sudut; dari sudut zat, sifat, Qadha’ dan semuanya[1].

 

Menurut Shihab pula, memuji datang hasil dari dalam hati ada perasaan sayang. Manusia akan memuji Allah dengan sebenar-benarnya, jika di dalam hatinya ada perasaan sayang kepada Allah[2].

 

[5] Manusia memuji dengan pelbagai sebab. Ada yang memuji kerana mahu mendapatkan keuntungan, seperti seorang yang mahu projek dari Perdana Menteri, dia akan memuji Perdana menteri, bukan kerana sayang kepada Perdana menteri itu, tetapi dia memuji kerana projek punya mudah diluluskan oleh Perdana menteri.

 

Ada pula yang memuji, kerana mahu mengelak diri dari mendapat kerugian. Seperti seseorang yang takut disaman oleh polis, dia memuji polis tersebut agar polis itu tidak menyamannya.

 

Semua bentuk bentuk ujian ini adalah tidak ikhlas. Pujian yang ikhlas adalah datang dari rasa keindahan di dalam hati terhadap sang yang dipuji.

 

Seorang suami yang merasai keindahan isterinya di dalam hati, dia akan sayang akan isterinya. Keindahan itu akan diluahkan dalam bentuk perkataan--ia dinamakan sebagai puji.

 

Maka demikianlah orang yang merasai keindahan Allah, yang keindahan itu telah masuk ke dalam hatinya.

 

[6] Walaupun kadang-kadang manusia melakukan kebaikan kepada kita, lalu kita mahu memberi pujian kepadanya. Namun, jika kita fikir lebih mendalam, pujian yang kita berikan kepadanya itu, hakikatnya adalah lebih layak diberikan pujian kepada Allah. Hal ini kerana, tanpa kekuasaan yang Allah berikan kepadanya untuk membuat kebaikan, pasti dia tidak akan mampu berbuat kebaikan tersebut[3].

 

[7] Apabila segala pujian itu diberikan kepada Allah, manusia perlu berfikir apabila sesuatu kepujian yang mahu diberikan kepada seseorang, perlu diingatkan bahawa segala perkara yang berlaku, di sebaliknya ada Allah.

 

[5] Perkataan الحمد—dimasuki Alif dan Lam, ia memberi maksud الاستغراق, iaitu mencakupi segala sesuatu. Itu sebabnya perkataan الحمد لله diterjemah sebagai segala puji bagi Allah[4].

 

[8] Bacaan الحمد لله adalah bacaan yang afdal ketika memulakan doa. Dalam hadis, Nabi saw ada bersabda;

 

جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ، يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «أَفْضَلُ الذِّكْرِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَفْضَلُ الدُّعَاءِ الحَمْدُ لِلَّهِ» - الترمذي, 3383

Zikir yang paling afdhal adalah LA ILAHA ILLA-LLAH. Doa yang paling afdhal adalah ALHAMDULILLAH

 

رَبِّ الْعَالَمِينَ (2)

 

[9] Asal makna رب adalah tuan. Dalam hadis, ada Nabi saw berkata:

 

(أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا)

“(tanda kiamat) bahawa hamba melahirkan tuannya”

 

Namun, perkataan رب diterjemah oleh Hamka sebagai PENGASUH. Perkataan ini merangkumi makna mencipta dan mengurus agar segala ciptaan itu bergerak dengan baik.  Kalau diumpamakan seperti manusia, ia diciptakan daripada air mani, kemudian menjadi kumpalan darah. Dan semua itu diasuh oleh Allah sehingga dia menjadi manusia, dan manusia itu menjalani kehidupannya seperti biasa[5].

 

Menurut Shihab pula, perkataan رب bermakna tarbiah, iaitu mengarahkan sesuatu tahap demi tahap menuju kesempurnaan kejadian dan fungsinya.

 

Jika difahami sebegini, sebarang perkara yang kita tidak suka berlaku pada diri kita tidak bermakna itu adalah keburukan bagi kita. Contohnya, seorang bapa yang memukul anaknya. Memukul bukan untuk memberi kehancuran, tetapi untuk mendidik dan mentarbiah agar mencapai kesempurnaan[6].

 

Menurut al-Qurtubi pula, perkataan رب itu mengandungi maksud:

 

وَالرَّبُّ: الْمُصْلِحُ وَالْمُدَبِّرُ وَالْجَابِرُ وَالْقَائِمُ

“mengelokkan, mentadbir, menampal kekurangan dan melaksanakan[7]

 

[10] Perkataan العالمين adalah kata jamak bagi perkara العالم. Ia berakar dari kata علم yang bermakna ILMU dan ALAMAT.

 

Setiap makhluk itu mempunyai perbezaan antara satu dan yang lain. Untuk mengetahui perbezaan itu, perlu kepada ILMU dan ALAMAT.

 

Setiap makhluk yang hidup dan bergerak itu mempunyai ALAM masing-masing; ada alam malaikat, alam manusia, alam roh dan sebagainya.

 

Justeru, penggunaan kata العالمين amat luas penggunaan dan pemaknaannya. Semua hal ini bermaksud, ia di bawah kawalan dan taklukan Allah. Semua itu di dalam tarbiyah Allah[8].

 

[11] Perkataan العالمين ada dua maksud;

 

A.                   Semua jenis makhluk, sama ada manusia, malaikat, jin dan syaitan.

 

B.                    Hanya dikhususkan kepada manusia sahaja. Ini melihat kepada firman Allah;

 

 قَالُوٓاْ أَوَلَمۡ نَنۡهَكَ عَنِ ٱلۡعَٰلَمِينَ (79) - الحجر

Mereka menjawab: "Bukankah kami telah melarangmu jangan menerima sebarang tetamu dari orang ramai (atau memberi perlindungan kepada mereka)?[9]"

 

Ayat ini adalah kisah berkaitan dengan larangan kaum Nabi Luth daripada Nabi Luth menerima sebarang tetamu. Tetapi, Nabi Luth tetap menerima tetamu yang merupakan tiga orang malaikat yang berupa dengan rupa manusia.

 

Dan juga firman Allah:

 

لِيَكُونَ لِلْعالَمِينَ نَذِيراً (1) - الفرقان

Supaya dia menjadi pemberi pengajaran kepada alam

 

Kalau alam itu termasuk juga binatang, ia tidak selaras dengan ayat ini. Hal ini kerana, binatang tidak dapat pengajaran pun[10].

 

C.                    Kata AL-ZUJAJ, semua makluk yang diciptakan oleh Allah di dunia dan akhirat adalah alam[11].

 

[12] Tuhan mentadbir Alam, bukan dibatasi kepada baik dan buruk; tetapi menjadikan baik dan buruk sebagai pengimbang terhadap rahmat yang Allah curahkan kepada manusia yang mentadbir bumi.

 

[13] Perkataan الحمد لله رب العالمين mengandungi dua sisi makna;

 

A.                    Ucapan berterima kasih kepada Allah kerana segala ciptaan ini merupakan pemudahcara kepada manusia dalam menjalani kehidupan.

 

وَقَالَ اللَّهُ لِنُوحٍ عَلَيْهِ السَّلَامُ:" فَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي نَجَّانا مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ" –  (28) - المؤمنون

Allah berkata kepada Nabi Nuh: Katakanlah (wahai Nuh), puji-pujian bagi Allah yang telah selamatkan kita dari kaum yang zalim”

 

وَقَالَ فِي قِصَّةِ دَاوُدَ وَسُلَيْمَانَ:" وَقالا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي فَضَّلَنا عَلى كَثِيرٍ مِنْ عِبادِهِ الْمُؤْمِنِينَ" (15) - النمل

kisah Nabi Daud dan Sulaiman: kedua-dua ini berkata: puji-pujian bagi Allah yang telah melebihkan kami terhadap ramai dari kalangan hambaNya yang beriman”

 

B.                     Ucapan memuji kepada Allah kerana kekaguman terhadap kehebatan Allah dalam mencipta dan mengurus alam[12].

 

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ نَزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ (63) – العنكبوت

Jika kamu tanya mereka, siapakah yang turunkan air dari langit, lalu dengannya menghidupkan bumi selepas mati, pasti mereka menjawab: Allah. katakanlah, puji-pujian bagi Allah, bahkan ramai mereka tidak berakal



[1] al-Sya’rawi:1/55

[2] Shihab:1/27

[3] Hamka:1/70

[4] Shihab:1/27

[5] Hamka:1/71

[6] Shihab:1/30

[7] al-Qurtubi:1/137

[8] Shihab:1/32

[9] Hamka:1/71

[10] al-Qurtubi:1/ 138

[11] al-Qurtubi:1/138

[12] Shihab:1/33

No comments:

Post a Comment

(2) SURAH AL-BAQARAH 22

  BAQARAH 2:22   الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْ...