|
SURAH AL-BAQARAH 2:5 |
أُولَئِكَ عَلَى هُدًى مِنْ رَبِّهِمْ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (5)
Mereka itulah yang
tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang
berjaya.
|
HUBUNGAN AYAT |
|
|
AYAT 4 |
AYAT 5 |
|
Kewajipan beriman
dengan al-Quran dan kitab-kitab sebelum al-Quran. |
Matlamat beriman
tersebut adalah untuk mendapat bimbingan dari Allah serta mendapat kejayaan
di dunia dan akhirat. |
[1] Manusia ada kelemahan diri. Dengan sebab itu, mereka
perlu mendapat bimbingan dari Allah.
[2] Untuk mendapat bimbingan tersebut, perlu ada usaha
dari sudut hati dan perbuatan. Iaitu, dengan beriman dengan perkara ghaib,
menjaga hubungan dengan Allah, menjaga hubungan sesama manusia, akur dan patuh
dengan al-Quran serta akui kitab-kitab sebelum al-Quran.
[3] Apabila sudah mendapat bimbingan dari Allah, di situ
adalah kebahagiaan bagi manusia dapat kecapi di dunia dan akhirat. Itulah
hakikat bagi kejayaan.
|
أُولَئِكَ
عَلَى هُدًى مِنْ رَبِّهِمْ |
[4] Bukan semua orang boleh ikut hidayah (al-Quran).
Tetapi, mereka yang hatinya percaya, terpamer dari sudut amalan hati dan amalan
perbuatan, serta akur dengan ketentuan tuhan; orang yang ada semua ini akan
benar-benar dapat petunjuk dari Allah.
[5] Ayat ini menggambarkan kepada kita bahawa hidayah itu
ada dua:
(a)
HIDAYAH IRSAD, iaitu sepertimana yang disebut dalam ayat ke-2; iaitu
Allah beritahu jalan-jalan dan cara-cara untuk menuju ke syurga yang manusia
tidak akan dapat sampai ke syurga kecuali ikut jalan-jalan dan cara-cara
tersebut.
(b)
HIDAYAH MATLUB, iaitu sepertimana yang disebut dalam ayat ke-5; iaitu,
Allah bimbing terus manusia itu ke syurga, hatinya dipelihara oleh Allah.
Disebut dalam terma lain adalah TAWFIQ.
[6]
Ibn kathir menukilkan pendapat IBN ABBAS yang menyatakan bahawa maksud dengan
hidayah dalam ayat ini adalah mereka
mendapat pancaran cahaya dari Allah yang dengan itu mereka ISTIQAMAH
dalam mengikuti apa yang diperintah oleh Allah dan meninggalkan larangan Allah[1]
[7] Menurut IBN JARIR maksud dengan أُولَئِكَ dalam ayat ini tertumpu pada ahli kitab
yang وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنزلَ إِلَيْكَ,
iaitu ahli kitab yang beriman dengan Nabi Muhammad saw.
Namun, dalam tafsiran majoriti ulama tafsir bahawa
perkataan أُولَئِكَ itu merujuk kepada
orang yang bertaqwa yang mempunyai lima sifat yang telah disebutkan[2].
[8] Dalam ayat ini, Allah menyebut: أولئك على هُدًى—mereka berada atas petunjuk, sedangkan
perkataan أولئك merujuk kepada orang
yang beriman yang sedia mendapat hidayah.
Ini bermaksud, orang yang sudah dapat hidayah boleh
sahaja melakukan maksiat dan dosa. Namun, apabila orang mukmin itu sudah sebati
lima perkara di atas dalam diri mereka, mereka sentiasa dalam penjagaan Allah[3].
|
وَأُولَئِكَ
هُمُ الْمُفْلِحُونَ (5) |
[9]
Penjelasan terhadap makna المفلحون dalam ayat
ini terdapat beberapa kupasan.
PERTAMA:
[10] Ibn Qutaibah kata: asal perkataan الفلاح adalah baqa’ (kekal). Justeru, maksud ayat adalah, mereka kekal
berada dalam hidayah[4].
KEDUA:
[11] Ibn kathir kata, kejayaan tersebut bukan semata-mata
di akhirat, bahkan mendapat kejayaan di dunia juga[5].
Menurut TAHIR IBN ASYUR pula, maksud dengan berjaya
dalam ayat ini adalah terselamat dari azab di akhirat kelak[6].
KETIGA:
[12] Sya’rawi menyatakan bahawa KEJAYAAN adalah MATLAMAT.
Sedangkan HIDAYAH adalah WASILAH untuk sampai kepada KEJAYAAN (khawatir:1/132)
Justeru, tidak
akan tercapai kejayaan jika tidak mengikut hidayah. Tidak akan tercapai hidayah
kecuali beroreantasikan kepada lima perkara dasar di atas.
[13] Sya’rawi menjelaskan, asal perkataan المفلحون dari kata فلح yang dari
kata itu datang perkataan الفلاح (petani).
Petani bekerja untuk memakmurkan tanah. Dia tanam dari
benih, dan dibaja dan dijirus dengan air sehingga tumbuh pokok dan memberikan
buah.
Tugas petani adalah sekadar melakukan proses, sedangkan
mendatangkan natijah (tumbuh dan berbuah) adalah Allah.
Demikianlah orang yang berusaha melakukan lima perkara
di atas. Apabila dia melakukan segala proses terbabit, natijah yang mereka
adalah المفلح yang merupakan anugerah dari Allah. ia sama sepertimana firman
Allah;
{مَّثَلُ
الذين يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ الله كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ
سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّئَةُ حَبَّةٍ والله يُضَاعِفُ لِمَن
يَشَآءُ والله وَاسِعٌ عَلِيمٌ} [البقرة: 261]
“perumpamaan mereka yang menafkahkan harta mereka di
jalan Allah seperti satu benih yang menumbuhkan tujuh tangkai. Pada setiap satu
tangkai melahirkan serratus benih. Allah menggandakan kepada sesiapa yang Dia
mahu. Allah itu maha luas lagi maha mengetahui[7]”
KEEMPAT:
[14] Dari sudut bahasa, Ibn Abi Ishaq kata, BERJAYA
bermaksud MENCAPAI PERKARA YANG DIUSAHAKAN serta SELAMAT DARI SEBARANG
KEBURUKAN[8].
Contohnya, seseorang yang mahu membuat projek
perumahan serta mahu mendapat keuntungan dari projek tersebut. Dia dianggap
berjaya, apabila dia berjaya siapkan rumah tersebut serta dapat membayar loan
serta mendapat keuntungan tersebut.
Oleh itu, jika dia gagal siapkan rumah tersebut;
ataupun dia berjaya siapkan, tetapi tidak mendapat keuntungan; ataupun dia
berjaya siapkan tetapi gagal bayar loan, maka dia tidak boleh dianggap sebagai
ORANG YANG BERJAYA.
Maka demikian juga orang yang berjaya di dunia dan
akhirat; iaitu dia berjaya mendapat kasih sayang Allah dan tercapai Hasrat
untuk masuk ke syurga.
[15] Kejayaan sebenar adalah mendapat rahmat dan kasih
sayang dari Allah. Hal ini kerana, layak masuk ke syurga disebabkan rahmatNya.
Dalam hadis—daripada Aisyah yang berkata bahawa nabi saw bersabda:
عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ،
أَنَّهَا كَانَتْ تَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
«سَدِّدُوا وَقَارِبُوا، وَأَبْشِرُوا، فَإِنَّهُ لَنْ يُدْخِلَ الْجَنَّةَ
أَحَدًا عَمَلُهُ» قَالُوا: وَلَا أَنْتَ؟ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ: «وَلَا أَنَا،
إِلَّا أَنْ يَتَغَمَّدَنِيَ اللهُ مِنْهُ بِرَحْمَةٍ، وَاعْلَمُوا أَنَّ أَحَبَّ
الْعَمَلِ إِلَى اللهِ أَدْوَمُهُ وَإِنْ قَلَّ» - مسلم, 2818
Fokuskanlah (terhadap kebenaran), dan hampirkanlah,
berikanlah khabar gembira. Hal ini kerana, seseorang itu tidak masuk syurga
dengan sebab amalannya. Sahabat bertanya: termasuk kamu juga, wahai Rasulullah?
Jawab Nabi: termasuk juga aku. Kecuali, Allah melimpahkan rahmat. Dan
ketahuilah bahawa amalan yang paling Allah suka adalah berkekalan, walaupun
sedikit.
Justeru, semua perkara yang tersebut di atas adalah
jalan-jalan yang perlu manusia lalui demi mencapai kasih dan sayang dari Allah.
|
PENGAJARAN |
[16] Manusia hebat macam mana pun, mereka perlu mendapat
bantuan dan pertolongan dari Allah.
Walaupun mereka sudah muslim, perlu memohon dengan
Allah agar diberikan istiqamah dengan hidayah.
Walaupun mereka sudah pandai, perlu memohon dengan
Allah agar kepandaian itu berkekalan.
Justeru, jangan lepaskan diri dari sentiasa bergantung
dengan Allah. Jika tidak, bimbang manusia akan lupa diri dan tertipu dengan
dirinya sendiri.
Apabila dia tertipu dengan dirinya sendiri, dia mula
menganggap orang yang berbeza dengannya sebagai kufur.
Apatah lagi, tidak sedikit manusia yang beriman
berubah menjadi kufur ketika mereka tertimpa ujian kehidupan; tidak sedikit
juga manusia yang menjadi kufur setelah dia diuji dengan apa yang diperkatakan
dahulu.
No comments:
Post a Comment