Saturday, April 22, 2023

(2) SURAH AL-BAQARAH 1

 

SURAH AL-BAQARAH 2:1

 

الم (1)

Alim, lam dan Mim

 

الم (1)

 

[1] Ia adalah tiga huruf yang berbeza, iaitu ALIF, LAM dan MIM yang disebut sebagai الحروف المقطعات—huruf yang terputus-putus yang mempunyai makna tersendiri. Dalam konteks bahasa melayu, seperti penggunaan kata KL yang bermaksud KUALA LUMPU, KB yang bermaksud KOTA BHARU, KT yang bermaksud KUALA TERENGGANU, AI yang bermaksud ANWAR IBRAHIM, TGHH yang bermaksud TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG, MAZA yang bermaksud MOHD ASRI ZAINAL ABIDIN dan sebagainya.

 

Dalam al-Quran, terdapat beberapa ungkapan lain seperti كهيعص, طه, يس dan sebagainya; setiap ia mempunyai maksud tersendiri.

 

[2] Dalam mentafsirkan maksud alif, lam dan mim ini, terdapat dua pendekatan ulama tafsir:

 

PERTAMA: TIDAK TAKWIL

 

Dari kalangan ahli tafsir, huruf muqatta’at ini tidak ditafsirkan. Makanya mereka berkata: الله اعلم بمعناه—Allah sahaja yang lebih mengetahui maknanya.

 

Al-Qurtubi berkata:

 

وَذَكَرَ أَبُو اللَّيْثِ السَّمَرْقَنْدِيُّ عَنْ عُمَرَ وَعُثْمَانَ وَابْنِ مَسْعُودٍ أَنَّهُمْ قَالُوا: الْحُرُوفُ الْمُقَطَّعَةُ مِنَ الْمَكْتُومِ الَّذِي لَا يُفَسَّرُ

Abul Lais al-Samarqandi menyebut, daripada Umar, Usman dan Ibn Mas’ud bahawa mereka berkata: Huruf Muqattaat dari hal-hal tersembunyi yang tidak ditafsirkan[1].

 

Ibn al-Jawzi pula menukilkan:

 

قال أبو بكر الصّديق رضي الله عنه: لله عزّ وجلّ في كل كتاب سر، وسر الله في القرآن أوائل السور

“Abu Bakar al-Siddiq berkata: Kepunyaan Allah pada setiap kitab itu ada rahsianya. Rahsia Allah dalam al-Quran adalah di awal surah[2]

 

Mereka tidak menerima pendekatan takwil, sebaliknya menerima al-Quran sepertimana yang difahami secara zahir sahaja. Jika tidak dapat difahami maksudnya, maka diserahkan semuanya kepada Allah.

 

KEDUA: MENTAKWIL

 

Kalangan yang menerima pendekatan takwil. Pada mereka, semua ayat al-Quran perlu difahami. Apabila tidak jelas, maka boleh ditakwil.

 

Mereka berpendapat sebegitu kerana berpegang dengan firman Allah berikut:

 

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ (185)

“Bulan Ramadan adalah bulan di mana diturunkan padanya al-Quran yang merupakan petunjuk kepada manusia dan bayan (penjelasan) terhadap petunjuk dan furqan (perbeza antara al-haq dan batil)”

 

ISTIDLAL: Bagaimana al-Quran boleh menjadi petunjuk, jika tidak difahami. Justeru, semua ayat al-Quran boleh difahami

 

Dengan sebab itu, perkataan Alim, Lam dan Mim itu, mereka tetap cuba memahami pemaknaannya dengan menggunakan pendekatan takwil.

 

[3] KENAPA KHILAF?

 

Ayat al-Quran itu dilihat kepada dua jenis:

(a)                Ayat Muhkamat

(b)               Ayat Mutasyabihat.

 

Firman Allah:

 

هُوَ الَّذِي أَنْزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا اللَّهُ وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ (7) – ال عمران

Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:" Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

 

ISTIDLAL: Dalam ayat ini ada menyebut bahawa AYAT MUTASYABIHAT itu: وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا اللَّهُ وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ—tidak mengetahui takwilnya kecuali Allah dan orang yang mempunyai ke dalaman ilmu.

 

Huruf و pada perkataan والراسخون, ada dua pentafsiran ulama;

(a)         Ia bermaksud عطف yang bermaksud لمطلق الجمع, iaitu menghimpunkan dua pihak yang berbeza.

(b)        Ia adalah لأسنئناف, iaitu permulaan bagi ayat baru.

 

Pada pemaknaan (a), ia memberi maksud bahawa takwil tidak diketahui oleh sesiapa pun melainkan dua kalangan sahaja, iaitu Allah dan orang-orang yang mempunyai ke dalaman ilmu.

 

Adapun pemaknaan (b) pula, hanya Allah sahaja tahu makna takwil pada ayat mutasyabihat.

 

Adapun perkataan وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ—itu sebagai permulaan ayat yang baru, iaitu Allah mahu menjelaskan sikap orang yang mendalam ilmu itu adalah kalangan يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ رَبِّنَا—mereka berkata: kami beriman dengan apa yang tuhan turunkan; mengakui bahawa semua perkara itu berada dalam pengetahuan Allah swt sahaja.

 

[4] Melihat kepada pendekatan (a), tidak hairan ada ulama-ulama tafsir cuba mentakwilkan makna perkataan alim, lam dan mim.

 

Namun, bagi pendekatan (b), mereka tidak mentakwilkan perkataan alif, lam dan Mim tersebut, tetapi menyerahkan hakikat maknanya kepada Allah.

 

Walaubagaimana pun, sesuatu pentakwilan mesti ada qarinah. Jika tidak ada, maka takwil itu dianggap sebagai batil.

 

Dengan sebab itu, pendapat yang paling selamat dalam mentafsirkan الحروف المقطعات adalah: hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui maknanya.

 

[5] TAKWILAN AHLI TAKWIL

 

Bagi ahli takwil, mereka memberikan pelbagai pentafsiran terhadap makna kata tersebut.

 

a.                  Ada yang kata, ia adalah singkatan dari  أَنَا اللَّهُ أَعْلَم—aku adalah Allah yang lebih mengetahui, sedangkan الر adalah singkatan dari  أَنَا اللَّهُ أَرَى—Aku adalah Allah yang maha melihat.

 

b.                  Ada pula kata, alif bermaksud ALLAH, lam bermaksud JIBRIL dan Mim bermaksud NABI.

 

c.                   Ada pula kata, ia dari maksud اسم الله الأعظم, iaitu alif mewakili perkataan awal bagi اسم, dan lam mewakili huruf di tengah الله dan mim pula mewakili huruf akhir bagi الأعظم

 

d.                  Ada pula kata, ketiga-tiga perkataan itu mewakili tiga nama Allah, iaitu alif mewakili bagi nama الله, dan lam mewakili bagi nama لطيف dan mim mewakili bagi nama مجيد

 

Qatadah kata, ia salah satu dari nama-nama al-Quran[3].

 

[6] Dalam hadis, nabi saw ada berkata:

 

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ، يَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ، وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ» - الترمذي, 2910

Barangsiapa yang membaca satu huruf dari Kitabullah, maka baginya dengan sebab satu huruf itu dia mendapat satu kebaikan. Satu kebaikan itu pula menyamai dengan 10 kali ganda. Aku tidak kata alif, lam dan mim itu satu huruf. Tetapi, alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf”

 

[7] kenapa dimulakan dengan HURUF AL-MUQATTAAT?

 

Menurut HAMKA bahawa segolongan ahli tafsir menyatakan bahawa ia sebagai pemberitahuan; atau sebagai panggilan untuk menarik perhatian manusia agar memerhatikan lebih teliti terhadap kandungan yang mengiringinya[4].

 

PENGAJARAN

 

[8] ALLAH MENYEMBUNYIKAN BEBERAPA HAL UNTUK MANUSIA MEMERAHKAN AKAL MEREKA UNTUK MENCARI

 

Al-Qurtubi ada menukilkan:

 

قَالَ أَبُو بَكْرٍ: فَهَذَا يُوَضِّحُ أَنَّ حُرُوفًا مِنَ الْقُرْآنِ سُتِرَتْ مَعَانِيهَا عَنْ جَمِيعِ الْعَالَمِ، اخْتِبَارًا مِنَ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَامْتِحَانًا، فَمَنْ آمَنَ بِهَا أُثِيبَ وَسَعِدَ، وَمَنْ كَفَرَ وَشَكَّ أَثِمَ وَبَعُد

Abu Bakar berkata: hal ini menjelaskan bahawa ada huruf-huruf dalam al-Quran yang disembunyikan maknanya dari seluruh alam. Ia sebagai ujian dari Allah. Barangsiapa yang beriman, dia diberikan pahala dan mendapat kebahagiaan di akhirat kelak. Barangsiapa yang kufur dan ragu, dia mendapat dosa dan jauh (dari syurga)[5].

 

Dalam pada itu, manusia perlu sedar bahawa ada perkara yang akal mereka tidak mampu nak capai. Kata SYA’RAWI:

 

والانسان حينما يقرأ القرآن والحروف الموجودة في أوائل بعض السور يقول إن هذا امر خارج عن قدرته العقلية. . وليس ذلك حجراً أو سَدّاً لباب الاجتهاد. . لأننا إن لم ندرك فإن علينا أن نعترف بحدود قدراتنا أمام قدرات خالقنا سبحانه وتعالى التي هي بلا حدود

Ketika manusia membaca al-Quran, dan huruf-huru ini ada di awal sesetengah surah, manusia perlu berkata: ini adalah perkara yang luar dari kemampuan akal. Ia bukan menutup dan menghalang dari kebijaksanaan ijtihad. Apabila kita tidak tahu, maka kita perlu mengiktiraf batasan kemampuan kita di hadapan kemampuan tuhan kita yang kemampuannya tidak terbatas[6].

 

[9] ADA PERKARA DALAM AGAMA INI TIDAK BOLEH BERIJTIHAD, TETAPI KENA TAAT

 

Sumber agama Islam itu adalah al-Quran dan hadis.

 

Kedua-dua ini, dilihat dari dua sudut:

(a)                Subut. Iaitu, bagaimana sesuatu nas itu sampai kepada kita.

(b)               Dilalah. Iaitu, bagaimana nas itu difahami.

 

Pada perkara (a), dilihat pada dua: (1) Qatie, dan (2) Zanni.

 

Antara perkara qatie pada perkara (a) adalah (ا) al-Quran yang bersifat mutawatir, (ب) hadis-hadis mutawatir lafzi, dan (ت) hadis-hadis mutawatir maknawi.

 

Pada perkara zanni pula adalah hadis ahad yang terbahagi pula kepada diterima dan ditolak. Di situ, lahir perbahasan status hadis, sama ada sahih, hasan, doif, doif jiddan, mungkar, palsu dan sebagainya.

 

Pada perkara (b) pula, ia sama juga kepada (1) qatie dan (2) Zanni.

 

Hukum yang qatie dari sudut dilalah adalah hukum yang tidak ada sebarang pentafsiran yang pelbagai dari kalangan ulama. Contohnya, batal puasa jika makan dan minum serta serta setubuh suami – isteri, bermula dari fajar sehingga maghrib dengan sengaja.

 

Adapun perkara zanni dari sudut dilalah adalah hukum yang melahirkan pentafsiran pelbagai dari kalangan ulama. Contohnya, batal puasa jika makan atau minum di bulan ramadan tanpa sengaja. Mazhab maliki mengatakan batal, sedangkan mazhab jumhur kata tidak batal.

 

Ada satu lagi perkara yang boleh diijtihadkan adalah, sesuatu kejadian yang berlaku di era kini yang kandungan hukumnya tidak dinyatakan dalam wahyu. Makanya, perlu kepada proses untuk aplikasi kandungan nas terhadap kejadian tersebut.

 

Contohnya, perbankan yang melalui proses membuang riba, gharar dan sebagainya.

 

[10] KAEDAH BELAJAR AL-QURAN DENGAN MUSYAFAHAH

 

Kata Syaikh SYA’RAWI:

 

إذن فالقرآن أصله السماع لا يجوز أن تقرأه إلا بعد أن تسمعه. لتعرف أن هذه تُقرأ ألف لام ميم والثانية تقرأ ألم. . مع أن الكتابة واحدة في الاثنين. . ولذلك لابد أن تستمع إلى فقيه يقرأ القرآن قبل أن تتلوه

Oleh itu, al-Quran itu asalnya adalah dengar; tidak harus kamu membacanya kecuali selepas kamu mendengarnya. (tujuannya) supaya kamu tahu bahawa ini dibaca “Alif, Lam dan Mim”. Dan kedua, kamu baca “alam”, sedangkan tulisannya adalah sama. Dengan sebab itu, kamu perlu mendengar dengan teliti terhadap bacaan al-Quran orang yang faqih sebelum kamu membacanya[7].

 

Pendekatan ini, disebut dalam hadis:

 

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: «كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ، وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ القُرْآنَ » - البخاري, 6

Ibn Abbas kata: Rasulullah adalah orang yang paling baik. Baginda paling baik dalam bulan Ramadan ketika berjumpa dengan Jibril. Baginda berjumpa Jibril pada setiap malam pada bulan Ramadan, mereka berdua bertadarus.

 

 

 



[1] Qurtubi:1/154

[2] Zad:1/25.

[3] Qurtubi:1/156

[4] Hamka:1/114

[5] Qurtubi:1/154

[6] Syakrawi:1/109

[7] Syakrawi:1/104

No comments:

Post a Comment

(2) SURAH AL-BAQARAH 22

  BAQARAH 2:22   الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْ...